Aiman tidak dilindungi Perkeso

Hafiz Marzukhi
Jun 26, 2018 18:21 MYT
Pemandu Grab, Aiman Nosri yang ditemui mati, dipercayai dibunuh dengan kesan jerutan pada leher, didapati tidak dilindungi dibawah Perkeso, kata Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran. - Foto fail
Pemandu Grab, Aiman Nosri yang ditemui mati, dipercayai dibunuh dengan kesan jerutan pada leher, didapati tidak dilindungi dibawah Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata semakan agensi berkenaan mendapati Grab Malaysia tidak mendaftarkan mangsa sebagai pencarum Perkeso.
"Kami sebenarnya menggalakkan lebih ramai majikan untuk datang dan mendaftarkan pekerja mereka di bawah Perkeso kerana kami ingin tawarkan perlindungan. Ia juga tidak banyak, hanya lebih kurang RM150 setahun," kata Kulasegaran.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Keselamatan Jalan Raya dan Kemalangan Perjalanan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Selasa.
Mayat Aiman telah ditemui di tempat duduk belakang Perodua MyVi miliknya di Selayang pada jam 8.20 malam Sabtu lalu.
BACA: Pemandu Grab maut dijerut
BACA: Dua warga Myanmar ditahan bantu kes bunuh pemandu Grab
Apabila diminta mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, semakan Perkeso juga mendapati bahawa sehingga April lalu, hanya 4,231 daripada 90,000 pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing yang mencarum dengan Perkeso.
"Saya amat bersimpati dengan mangsa dan keluarganya.
"Kes melibatkan Aiman ini membuktikan keperluan bagi majikan untuk mendaftarkan pekerja mereka," kata beliau.
#Aiman Nosri #e-hailing #Grab Malaysia #M Kulasegaran #pemandu #perkeso
;