AIM nafi spekulasi akan diswastakan - Lajim

Astro Awani
Mac 2, 2021 14:24 MYT
Lajim menjelaskan, AIM masih kekal sebagai badan amanah persendirian dengan berbekalkan peranan dan fungsi sedia ada. - Bernama
KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menafikan spekulasi akan diswastakan oleh segelintir pihak, kata Datuk Seri Lajim Ukin.
Pengerusi Lembaga AIM itu menjelaskan, AIM masih kekal sebagai badan amanah persendirian dengan berbekalkan peranan dan fungsi sedia ada.
"Sebaliknya AIM telah menerima beberapa cadangan kerjasama dari beberapa syarikat swasta untuk menubuhkan Bank Digital di bawah inisiatif Bank Negara Malaysia.
"AIM juga sedang berusaha mengembangkan lagi peranannya untuk menjadi sebuah Bank Digital tanpa menjejaskan Skim Pinjaman Mikro Kredit khusus untuk sahabat AIM.
"Setelah menilai dan menerima maklum balas dari pelbagai pihak, AIM membuat keputusan akan terus kekal dengan prinsip, peranan dan fungsi seperti sedia ada tanpa menjejaskan kebajikan pekerja dan sahabat AIM," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu kata Lajim, bagi memastikan tanggungjawab dan matlamat ini terlaksana, AIM telah pun
membuat pinjaman sebanyak RM1 bilion ringgit dari pihak kerajaan dan institusi kewangan dalam Negara sepanjang penubuhannya pada 17 September 1987.
"Fokus utama AIM pada tahun 2021 adalah untuk memperkasakan sahabat AIM sedia ada melalui pinjaman mikro kredit, selain membantu sahabat dalam pemasaran digital sejajar dengan cabaran yang dihadapi akibat pandemik COVID-19.
"AIM juga komited membantu sahabat yang terkesan akibat bencana dengan menyalurkan bantuanbantuan
sewajarnya," jelasnya.
AIM merupakan sebuah badan amanah persendirian yang ditubuhkan melalui Suratcara Perjanjian Amanah pada 17 September 1987 dan didaftarkan di bawah Trustees (Incorporation) Act 1952.
AIM berperanan membantu usahawan miskin dan berpendapatan rendah terus kekal seperti mana yang termaktub dalam Akta Pemegang Amanah 1952.
AIM adalah sebuah badan bebas (NGO) yang telah diwujudkan 1987 yang berperanan memberi pinjaman mikro kepada kaum wanita dari kelompok B40 untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di seluruh negara.
Sehingga kini, AIM telah memberi manfaat kepada 920,000 peminjam atau dikenali sebagai sahabat AIM di seluruh negara.
#Bank Negara Malaysia #bank #wanita #kerajaan #Amanah #usahawan #Malaysia #COVID-19 #Amanah Ikhtiar Malaysia #Datuk Seri Lajim Ukin