AIM catat pencapaian membanggakan, wajar dicontohi agensi KUSKOP

Astro Awani
Januari 29, 2024 21:58 MYT
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat AIM hari ini. - Foto AIM
KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) wajar dijadikan contoh oleh agensi-agensi lain di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kata Datuk Ramanan Ramakrishnan.
Timbalan Menteri KUSKOP itu berkata, ia susulan pencapaian membanggakan yang ditunjukkan oleh AIM, termasuk membantu ramai golongan wanita menjadi usahawan.
“AIM juga berjaya mencatat peratus bayaran balik pinjaman yang terbaik iaitu pada kadar 99.91 peratus.
“AIM bukan hanya sebagai agensi penyedia pembiayaan mikro, tetapi ibarat sebuah keluarga besar yang begitu dekat dan akrab dengan Sahabat Usahawan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Terdahulu, Ramanan mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat AIM dan disambut oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Syed Hussian Syed Junid, Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz serta 1,000 Sahabat Usahawan India.
Dalam pada itu, Ramanan juga meminta AIM membantu kerajaan dalam usaha memastikan lebih banyak golongan miskin dikenal pasti dan dibantu melalui kepakaran yang dimiliki agensi itu khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan.
Sejak ditubuhkan pada 1987, AIM berjaya membantu ramai Sahabat Usahawan AIM dan golongan miskin dengan menyediakan pembiayaan kredit mikro.
Untuk rekod, pada 2023 AIM meluluskan sebanyak RM2.57 bilion pembiayaan, dengan bilangan peminjam semasa sebanyak 322,733 serta mencatatkan Non-performing Loan (NPL) atau pinjaman tidak berbayar pada kadar 0.09 peratus.
#Amanah Ikhtiar Malaysia #pembiayaan mikro #Ramanan Ramakrishnan AIM #Kuskop
;