Aidilfitri yang suram buat tiga beradik yatim piatu

Adie Sufian Zulkefli
April 17, 2023 09:17 MYT
Kanser Survivor Malaysia meraikan anak-anak yatim dan asnaf membeli baju raya di sebuah pasaraya di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.
ALOR SETAR: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi bagi tiga beradik menjadi suram apabila kehilangan ibu mereka dalam tempoh sebulan selepas pemergian bapa tercinta akibat serangan jantung.
Menurut Muhammad Irfan Hakimi Muhamad Taufiq, 13, bapa mereka, Muhamad Taufik Ali, 35, meninggal dunia kerana masalah jantung pada 15 September lalu.
Selang tiga bulan, kata Muhammad Ifran, ibunya, Siti Suraini Saad, 35, pula dijemput Ilahi kerana menghidap kanser payu dara.
Kata Muhammad Irfan, pemergian ibu dan ayah dalam sekelip mata bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui dia dan dua adiknya.
Namun, sesedih mana sekalipun, sebagai anak sulung, Muhammad Irfan tidak akan sesekali mengabaikan pesanan arwah ibunya agar menjaga dua adiknya, Muhammad Danial, 10, dan Muhamad Fayyad, 4, dengan baik.
Bahkan, pesanan ibu dan ayahnya yang masih terngiang-ngiang di fikiran Muhammad Irfan juga ialah
belajar bersungguh-sungguh dan pastikan mereka tiga beradik berjaya dalam pelajaran.
Perbualan rancak tiba-tiba bertukar sebak sebaik diajukan pertanyaan baju raya warna biru yang dipilih Muhammad Irfan serta dua adiknya.
Menurut pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Anum, ini merupakan kali pertama mereka tiga beradik akan menyambut Aidilfitri tanpa ibu dan ayah.
“Dulu rasa gembira sekarang ini tak rasa apa-apa, rasa macam tak ada orang, tak ada tangkap gambar sama-sama… rindu mak abah.
“Kalau ada mak ayah buat kuih raya, balik kampung. Mak dan abah pesan jaga (hubungan adik beradik) sampai bila-bila, sampai besar, tak mahu berpisah,” kata Muhammad Irfan berkongsi pesanah Allahyarham bapa dan ibunya.
Berikutan kehilangan tempat bergantung, Muhammad Irfan dan dua adiknya kini hanya mempunyai nenek sebagai pengubat rindu dan tempat menumpang kasih.
Ketiga-tiga anak yatim piatu itu kini tinggal bersama nenek mereka di Kampung Alor Rambai, Mukim Bukit Tinggi, Jitra.
Menurut Che Olah Ariffin, 65, walaupun dia semakin uzur dan kudratnya terbatas, namun, dia berazam akan terus membesarkan cucu-cucunya sehingga Allah SWT menjemputnya.
Kata Che Olah, dia akan memegang amanat anaknya supaya menjaga dan tidak memisahkan cucunya selepas ketiadaannya.
Bahkan, ujar Che Olah, pesanan yang penting akan menjadi tanggungjawabnya ialah jangan sesekali menyerahkan cucu-cucunya kepada orang lain untuk dipelihara.
“Makcik tak kerja cuma ada sikit-sikit orang bawa (bantuan) untuk depa (cucu-cucu),” kata Che Olah.
Tiga beradik ini antar 20 anak yatim dan asnaf yang diraikan dalam sumbangan baju raya Kanser Survivor Malaysia (CSM) di sebuah pasaraya, di sini.
Pengerusinya, Zuraini Kamal berkata, mereka adalah anak angkat CSM selepas kematian ibu bapa.
Menurut Zuraini, bantuan berterusan juga akan disalurkan selain pembelajaran mereka juga akan dipantau CSM sehingga mereka melanjutkan pengajian di universiti kelak.
#Hari Raya Aidilfitri #yatim piatu #Aidilfitri yang suram #Kanser Survivor Malaysia
;