"Aidilfitri tidak bermakna tanpa abah dan abang"

Adie Sufian Zulkefli
Mac 19, 2025 08:00 MYT
Jenazah dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Tai, jam 9.30 malam tadi. - Astro AWANI
PENDANG: "Hari Raya Aidilfitri tidak bermakna lagi buat kami bertiga selepas ‘abah’ dan ‘abang’ meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua treler berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah semalam."
Demikian luahan sedih Nur Atiqah Qistina Abdul Aziz, 17, mengenangkan seminggu sebelum kejadian arwah abangnya paling teruja dan telah membeli pakaian raya berwarna ‘biru muda’ bukan setakat untuk mereka sekeluarga malah baju raya untuk kucing kesayanganya turut dibeli.
Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu dia tidak menyangka sepatutnya bapa dan abangnya pulang ke rumah semalam dalam keadaan bernyawa, tetapi takdir menentukan sebaliknya.
Katanya, kini, dia dan adiknya Nur Ain Umairah Abdul Aziz, 12, serta ibu, Ismaliza Ismail, 46, hilang tempat bergantung kerana bapa dan abang selama ini menjadi tonggak keluarga mencari untuk pendapatan.
“Abang paling teruja sudah beli baju raya semua dan dekat kucing juga dia beli juga baju dia nak raya lepas tu dia cakap nak bawa sekeluarga pergi rakamkan foto di studio.
“Tapi abang belum tempah dia rancang untuk pergi seminggu sebelum hari raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Tai, malam tadi.
Turut tidak dapat menerima takdir kehilangan dua insan tersayang serentak Nur Ain Umairah, 12, kerana ketika ayah dan abangnya bertolak ke Kuala Lumpur dia tidak sempat bertemu kerana berada di sekolah.
Menurut anak bongsu ini, memori berasama Arwah bapa dan abangnya kini hanya tinggal kenangan.
“Arwah abah dan abang memang rapat dengan saya dan mereka berdua suka bergurau dan buat lawak tapi lepas ini tiada lagi jenaka mereka.
“Minggu lepas abang tanya hendak beli baju raya warna apa? Dan saya cakap mahu warna ‘i’ (biru muda). Selepas itu abang beli dah siap dengan sampin dan sekali baju raya dekat kucing kesayangan.
“Abang siap pasang niat mahu turunkan berat badan kerana bimbang baju raya tak muat dipakai pada pagi raya. Tapi saya tak sangka dapat tahu abang dan abah dah meninggal dunia. Raya tahun ini rasa macam tak teruja dan hilang semangat nak raya,” katanya.
Jenazah Abdul Aziz Shafie, 45, dan anaknya, Muhammad Alif Hakymie Abdul Aziz, 23, dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Tai, jam 9.30 malam tadi.
Terdahulu jenazah yang telah selesai proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Tapah dibawa ke Surau Arraudhah, Kampung Pokok Tai Lama untuk disembahyangkan.
Lebih 100 orang terdiri ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung hadir ke pengebumian jenazah dua beranak itu.
Semalam Astro AWANI melaporkan, pemandu dan kelindan treler muatan pasir ditemukan rentung selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 332.4, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah.
Dalam kemalangan itu, Abdul Aziz Shafie, 45 dan anak sulungnya, Muhammad Alif Hakymie, 23, dipercayai dalam perjalanan pulang ke Pendang.
#nahas dua treler #meninggal dunia #R&R Tapah #Aidilfitri
;