Aidilfitri: Rumah terbuka meriah buat warga Malaysia di Amerika Syarikat

Fareez Azman
Mei 10, 2022 06:30 MYT
Rumah terbuka Aidilfitri di Amerika Syarikat menjadi pembakar semangat buat warga Malaysia melepaskan kerinduan beraya di kampung halaman. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Aidilfitri disambut meriah di seluruh pelusuk tanah air. Ziarah rumah ke rumah, menikmati juadah seperti ketupat, rendang serta lemang sudah tentu memberi seribu satu keceriaan ketika meraikan Syawal.
Tidak dilupa di perantauan, rumah terbuka juga menjadi salah satu perkara penting terutama bagi masyarakat Islam di Virginia, Amerika Syarikat (AS).
Astro AWANI baru-baru ini sempat menemu bual dua warga Malaysia yang menetap di sana. Norlidah Zainal Abidin dan Sharin Harun antara warga Malaysia yang paling sibuk ketika meraikan Aidilfitri.
Raya paling meriah
"Perbezaan tahun ini, raya lebih meriah sebab kami dapat bertemu dengan 20 orang satu tempat. Kawasan kami mempunyai 10 masjid dan lokasi solat raya dan juga hari ini sahaja kami pergi bertandang ke empat buah rumah.
"Alhamdulilah setiap hujung minggu ada rumah terbuka diadakan. Alhamdulilah dah meriah seperti raya sebelum COVID-19, dapat berjumpa dengan orang yang kita tak pernah jumpa.
"Dah tak jumpa dua tahun, tapi sebelum itu juga masyarakat kami masih aktif membuat tadarus Ramadan, kami masih membuat pasar Ramadan walaupun di perantauan di East Cost Virginia dan di Los Angeles yang diwujudkan semasa COVID-19 berlaku," jelas Sharin.
Meskipun menetap lebih 22 tahun di AS, namun baginya setiap kali Syawal, kemeriahan itu jelas terasa apabila rata-rata umat Islam turut bergotong-royong dalam membuat persiapan.
Dodol dari Ohio, kuih dari Texas
"Kakak ini kalau nak banding dengan masyarakat Malaysia di sini, kakak kurang memasak.
"Ada kuih datang dari Texas, dodol datang dari Ohio, rempeyek datang dari Virginia, jadi ada juga seperti di Malaysia sebab ada yang menjual dan buka tempahan," jelasnya lagi.
Tambah Sharin, 50, yang juga tenaga pengajar di ICA Language Service, Virginia, setiap hari terdapat banyak rumah terbuka diadakan oleh warga Malaysia, ia sekaligus jelasnya menyuntik semangat Syawal diraikan bersama.
Malah kerinduan di kampung halaman sedikit sebanyak terubat apabila juadah Syawal dapat dinikmati mereka di bumi AS.
Rasa sama dikongsi, Norlidah Zainal Abidin, 55, yang juga tenaga pengajar di Foreign Service Institute, Virginia.
Meskipun sudah menjangkau 25 tahun menetap di AS, namun rumah terbuka menjadi simbolik kemeriahan setiap kali tibanya Syawal.
"Buat rumah terbuka itu jadi 'signature' untuk kami di sini, tapi nama 'open house' kalau di sini, kalau orang nak jual rumah dia panggil 'open house' .
"Jadi kalau kita nak jemput orang Amerika ini, kita kena beritahu dia, saya bukan nak jual rumah tapi nak jemput datang makan," ujarnya.
Susah cari barang juadah raya
Walaupun berdepan cabaran untuk mendapatkan barangan dalam menyiapkan juadah raya seperti ketupat dan lemang, namun ia tidak melunturkan semangat mereka.
"Cabaran itu terpaksa kami lalui, tapi cabaran itu sebenarnya mengajar kita untuk menikmati sebenarnya hasil kita dapat.
"Macam kita hargai ketupat itu, sayang ketupat itu kalau tak habis. Di sini macam itu, ketupat ke kicap ke, benda-benda yang kita kurang hargai di Malaysia, di sini kita hargai sebab itulah.
"Cabaran di sini mengajar kita menghargai sesuatu, dan kita betul-betul menikmati setiap juadah itu," jelasnya lagi.
Di samping itu, ujar Norlidah, beliau juga amat berbangga dapat menunjukkan makanan tradisional Malaysia kepada warga AS setiap kali rumah terbuka diadakannya.
"Satu lagi kita boleh tunjukkan makanan kita kepada orang lain terutama di sini memang tak boleh beraya seorang, kena jumpa jiran-jiran itu memang kebiasaan," katanya lagi.
Dari sudut baju raya pula ujar Norlidah, kebanyakan warga Malaysia di AS hanya menggunakan baju raya lama.
"Persiapan baju raya di sini sangat 'common', baju kami kadang-kadang 'recycle'. Sebab baju tradisional ini kita guna waktu Syawal, pada hari kebiasaan kita tidak pakai baju tradisional.
"Ada baju yang sudah 20 tahun masih dipakai, kalau ada kesempatan kami beli. Dalam komuniti kami juga kami adakan 'recycle' baju raya," katanya lagi.
#syawal #perantauan #Aidilifitri #Amerika Syarikat
;