Aidilfitri: Rapatkan silaturahim, kukuhkan hubungan kekeluargaan - Awang Tengah
Astro Awani
Mei 2, 2022 08:15 MYT
Mei 2, 2022 08:15 MYT
KUCHING: Setelah lebih dua tahun bergelut dengan pandemik COVID-19, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyarankan agar rakyat Bumi Kenyalang mengambil peluang perayaan Aidilfitri ini untuk merapatkan ikatan silaturrahim serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
Dalam pada itu, katanya, keselamatan dan kesihatan perlu sentiasa dijaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sambutan hari raya selain menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab semasa perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Walaupun kelonggaran telah diberikan dalam aspek sambutan perayaan Aidilfitri ini, saya ingin menegaskan bahawa kita masih lagi belum menang melawan wabak COVID-19.
“Justeru, saya ingin mengingatkan semua agar sentiasa mematuhi SOP sambutan perayaan yang telah ditetapkan,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.
Tambahnya, diharap perayaan ini akan memberikan peluang kepada semua untuk kekal bersatu, menikmati keamanan serta sentiasa selamat dan berada di dalam perlindungan Allah SWT.
“Dalam kita menyambut sambutan Aidilfitri ini, saya juga ingin berpesan agar kita tidak melupakan golongan asnaf, kurang upaya, anak yatim, ibu tunggal dan warga emas yang memerlukan bantuan untuk memastikan kegembiraan sambutan Aidilfitri ini terpancar di wajah semua, tanpa mengira pangkat dan kedudukan,” katanya.
Awang Tengah turut menjemput warga Lawas untuk menghadiri rumah terbuka sambutan Aidilfitri di Hotel Seri Malaysia pada hari raya ketiga dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.