Aidilfitri: Ramai balik beraya, aliran trafik ke Pantai Timur sesak

Sinar Harian
April 20, 2023 16:13 MYT
Aliran trafik di Plaza Tol Kuala Terengganu, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bergerak perlahan susulan orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Aliran trafik dari Plaza Tol Gombak ke Pantai Timur mula sesak berikutan orang ramai yang mula pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Sinar Harian pada jam 2.30 petang mendapati, terdapat pertambahan kenderaan sehingga menyebabkan keadaan sedikit sesak di lorong plaza tol berkenaan.
Menurut Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sekitar jam 1 petang tadi, beberapa kilometer (KM) di Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak dilaporkan sesak.
"Antara laluan tersebut termasuk KM 28.8 ke 37.4 (Gombak- Genting Sempah), KM 39.3 ke 41 (Genting Sempah- Bukit Tinggi) dan 44.2 ke 45.7 (Bukit Tinggi).
"Aliran trafik perlahan turut dilaporkan berlaku di LPT1 dari Tol Plaza Karak dari arah Kuantan (KM78.3)," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Justeru, LPT mengingatkan kepada orang ramai yang ingin pulang ke kampung supaya merancang perjalanan terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
"Antara cadangan waktu adalah sekitar jam 6 ke 10 pagi, 8 ke 11 malam bagi hari Khamis.
"Pada Jumaat pula, waktu yang sesuai adalah sekitar jam 6 ke 10 pagi dan 5 ke 8 malam," tambah LPT.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik. -- Sinar Harian
#Hari Raya Aidilfitri #Pantai Timur #jalan sesak #LPT
;