Aidilfitri: Pusat beli-belah di Kelantan diserbu susulan pembelian saat akhir

Muhafandi Muhamad
Mei 2, 2022 08:00 MYT
Susulan pengumuman Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada hari ini, kesemua jalan utama ke lokasi pusat membeli belah di Kelantan mengalami kesesakan teruk malam tadi. -Astro AWANI
KOTA BHARU: Susulan pengumuman Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada hari ini, kesemua jalan utama ke lokasi pusat membeli belah di Kelantan mengalami kesesakan teruk malam tadi.
Sebahagian besar rakyat Kelantan tertumpu ke pasar malam dan tapak niaga bagi mencari baju Melayu, kain persalinan wanita dan sebagainya untuk sambutan 1 Syawal hari ini.
Suasana sesak antaranya dapat disaksikan di Pasar Malam Wakaf Che Yeh dengan kehadiran orang ramai mencari pakaian sehingga ke awal pagi tadi.
"Memang terkejutlah, beli barang, baju Melayu, t-shirt. Memang ramai orang," kata peniaga, Mohd Firdaus Mahussain.
Bagi Mohd Faiz Abdullah, dia mengaku tidak bersedia apabila mendengar pengisytiharan Hari Raya yang jatuh hari ini.
"Terkejutlah dengar pengumuman Hari Raya. Baju tak sempat nak beli, rumah tak berkemas lagi," kata Mohd Faiz.
Reaksi sama disuarakan peniaga Rubiah Hussain yang belum membuat persediaan menyambut Aidilfitri.
"Terkejutlah dengan pengumuman Raya. Memang tak siap apa pun pakaian, rumah. Makanan basah tak beli lagi, biskut raya tak beli lagi... memang terkejutlah," kata Rubiah.
Tinjauan Astro AWANI di pasar malam Wakaf Che Yeh mendapati kehadiran orang ramai tidak putus-putus sehingga jam 5 pagi tadi.
Situasi pembelian panik pakaian Hari Raya dapat disaksikan di kebanyakan tempat niaga, bahkan ada butik pakaian dan pasar raya yang melanjutkan operasi perniagaan mereka sehingga ke jam 2 pagi.
#Aidilfitri #pembelian panik #pengumuman Hari Raya #pasar malam dan tapak niaga diserbu
;