Aidilfitri: PLUS jalin kerjasama dengan Astro Radio, Celcom dan MOTAC salur maklumat trafik
Bernama
April 28, 2022 05:02 MYT
April 28, 2022 05:02 MYT
KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjalin kolaborasi dengan Astro Radio, Celcom serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memastikan penyebaran maklumat trafik terkini yang konsisten dapat disampaikan kepada dua juta pengguna lebuh rayanya di antara 29 April hingga 9 Mei bersempena dengan perayaan Aidilfitri.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata peranan kerjasama itu penting kerana mesej PLUS disalurkan kepada orang ramai menerusi radio dan media sosial kerana pelanggan lebuh raya memerlukan maklumat terkini yang dapat membantu mereka membuat keputusan serta merancang perjalanan.
"Keperluan untuk berkomunikasi secara berterusan dan meluas adalah penting bagi mempersiapkan orang ramai dari segi mental dan menjangkakan tempoh perjalanan yang lebih panjang pada musim perayaan ini.
"Oleh itu, dalam menguruskan lonjakan trafik musim perayaan ini, kami telah mengenal pasti tiga rakan strategik yang sepakat dan dapat bekerjasama dalam menghebahkan maklumat trafik terkini serta nasihat perjalanan kepada semua pelanggan Lebuhraya PLUS melalui jangkauan luas setiap saluran komunikasi mereka," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata pemandu boleh mendapat laporan trafik terkini dari semasa ke semasa yang ke udara melalui ERA, SINAR, ZAYAN, Hitz FM, Mix FM dan Lite FM atau melalui aplikasi SYOK selain laporan di halaman media sosial daripada kesemua 11 stesen popular Astro Radio.
Celcom juga telah menyediakan stesen pemancar mudah alih di Plaza Tol Tapah dan Juru serta kawasan rehat yang terpilih bagi liputan lebih luas serta stabil di lokasi utama.
Menurutnya, dengan lebih dua juta pelanggan lebuh raya bergerak di pantai barat Semenanjung Malaysia, kolaborasi yang tepat pada masanya dengan MOTAC berperanan memastikan kelestarian ekosistem pelancongan domestik.
Selain rakan strategik PLUS, maklumat trafik terkini turut disalurkan menerusi papan tanda elektronik di lebuh raya, Twitter PLUSTrafik dan Aplikasi PLUS yang membolehkan pelanggan meninjau keadaan terkini di lebuh raya menerusi paparan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam aplikasi itu.
"PLUS mengucapkan terima kasih kepada Astro Radio, Celcom dan MOTAC kerana menyokong kami dalam usaha menjaga pelanggan lebuh raya dengan baik sepanjang musim perayaan ini.
"Kami menghargai keikhlasan mereka dan membantu dalam semangat sebenar Kita Jaga Kita," katanya.
-- BERNAMA