Aidilfitri: Peningkatan pergerakan trafik di Terengganu namun masih terkawal

Astro Awani
Mei 5, 2022 18:29 MYT
Tinjuauan dari udara Astro AWANI menyaksikan peningkatan jumlah trafik di jalan raya berikutan orang ramai mula bergerak meninggalkan kampung halaman sebelum cuti Aidilfitri berakhir. - Foto Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Jika sehari sebelum sambutan hari raya Aidilfitri aliran trafik di negeri Terengganu bergerak perlahan berikutan pertambahan kenderaan 
namun pada hari raya keempat pergerakan trafik di negeri itu kembali meningkat petang ini.
Ia susulan orang ramai mula bergerak meninggalkan kampung halaman sebelum cuti Aidilfitri berakhir.

Menerusi tinjauan udara yang dilakukan wakil Astro AWANI Terengganu bersama Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu (JSPT) mendapati beberapa laluan utama termasuk Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) mula menunjukkan peningkatan jumlah trafik.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Terengganu Superintendan Ismail Man berkata meskipun aliran trafik meningkat namun ia masih lancar dan bergerak dengan kadar perlahan.
Katanya situasi yang sama juga turut berlaku di enam lokasi yang dijangka berlaku kesesakan dalam tempoh perayaan ini termasuk di daerah Marang, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut.

“Sepanjang pemantauan tadi kita dapati kelancaran masih ada di laluan dalam Kontinjen Terengganu cuma ada beberapa tempat sahaja terutamanya kawasan bottleneck dan juga di lampu isyarat.
“Kita masih lagi dapat mengawal dengan kawalan daripada pihak PDRM sendiri terutamanya daripada pegawai dan anggota JSPT sendiri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu aliran trafik di LPT2 khususnya di Plaza Tol Kuala Terengganu juga masih terkawal.

Terdahulu polis Terengganu menjangkakan pertambahan lima kali ganda kenderaan akan membanjiri negeri itu khususnya melibatkan laluan LPT2 pada musim perayaan ini.
#trafik meningkat #balik kampung #Aidilfitri #LPT2 #Kuala Terengganu #hari raya #PDRM
;