Aidilfitri: Pengangkutan awam tetap jadi pilihan pulang beraya
Bernama
April 8, 2024 19:29 MYT
April 8, 2024 19:29 MYT
KUALA LUMPUR: Suasana menyambut Aidilfitri semakin jelas terasa terutama di terminal pengangkutan awam apabila ramai yang memilih untuk pulang berhari raya menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api.
Walaupun kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma di semua lebuh raya pada hari ini dan esok, masih ada yang menjadikan pengangkutan awam sebagai kenderaan yang membawa mereka balik ke kampung halaman kerana inginkan ketenangan dan tidak tertekan memandu sendiri dalam kesesakan di lebuh raya.
Tinjauan Bernama di KL Sentral mendapati keadaan sedikit sesak apabila ramai warga tempatan menggunakan pengangkutan awam untuk pulang beraya sejak awal pagi tadi.
Seorang peniaga Suriati Ibrahim, 47, berkata dia bersama tiga anaknya menempah tiket kereta api dari Kuala Lumpur ke Batu Gajah, Perak sejak sebulan lepas kerana khuatir tiket akan habis dengan cepat.
"Kami bercuti sampai Sabtu. Kami guna ETS (Perkhidmatan Tren Elektrik) kerana lebih jimat masa, tidak perlu menempuh kesesakan jalan raya. Sampai pun tetap pada masa yang dijadualkan," katanya.
Turut senada dengannya, seorang juruvideo Muhammad Rashid Dany Abdullah, 24, yang bertindak menempah tiket lebih awal untuk pulang beraya selama seminggu di Gemas, Negeri Sembilan.
"Alhamdulillah, senang nak dapat tiket kereta api sebab beli secara dalam talian, tak payah nak beratur. Kalau tak saya kena naik motosikal dan jauhlah nak ke kampung," katanya.
Dua penuntut universiti swasta di Perak, Syarifah Musliha dan Noor Aliah Sailin, yang kedua-duanya berusia 21 tahun memilih pengangkutan awam yang disediakan pihak universiti bagi menyambut perayaan.
"Kami menaiki ETS dari Perak ke KL Sentral dan selepas ini perlu menaiki kapal terbang untuk pulang ke Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah. Tidak ada masalah untuk beli tiket sebab boleh tuntut tiket penerbangan percuma," katanya.
Sementara itu, dua warga Indonesia yang ditemui di sini turut tidak melepaskan peluang untuk merasai sambutan perayaan itu di Malaysia dan akan berada di sini selama empat hari.
"Kami baru tiba di Malaysia. Saya akan beraya di sini bersama teman-teman. Semua persiapan raya sudah tersedia," kata Hariyanto, 44.
-- BERNAMA