Aidilfitri: Panjut batik sebagai kelainan, usaha hidupkan tradisi

Pia Ernadya
April 10, 2024 19:55 MYT
Pak Tam (kanan) menghasilkan pelita buluh bercorakkan batik yang memberikan kelainan kepada pelanggannya. - Gambar/ Astro AWANI
BANTING: Suatu ketika dahulu, pelita atau panjut kerap menghidupkan suasana laman rumah masyarakat Melayu di kampung terutama pada malam 10 Ramadan terakhir seiring usaha mengejar lailatulqadar.
Namun disebabkan perubahan masa dan teknologi, tradisi itu kini semakin sepi dan dilupakan terutama di kawasan perumahan di bandar.
Sebagai usaha untuk mengekalkan tradisi ini demi generasi akan datang, Khairul Nizam Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Pak Tam yang sudah berkecimpung dalam perniagaan pelita hampir 10 tahun mempelbagaikan koleksi panjutnya.
Antara usaha yang dilakukan oleh Pak Tam untuk menarik lebih banyak pelanggan ialah dengan menghasilkan pelita buluh bercorakkan batik yang memberikan kelainan kepada pelanggannya.
"Selalunya pelita panjut ni, majoriti akan buat benda yang sama. Tapi kita pelbagaikan lagi hiasannya sebab sekarang dah tahun 2024 dan sudah moden... jadi kita buat yang lebih berbeza. Malah kita juga gunakan barang-barang yang terpakai untuk cantikkan panjut itu.
"Untuk menghasilkan corak batik, kain langsir yang sudah lusuh ataupun dibuang dimanfaatkan untuk memberi nafas baharu kepada koleksi pelita saya.
"Saya pilih langsir sebab corak langsir ni ada bunga dan bila kita tekap atas buluh (kemudian disembur dengan cat), ia akan ikut bentuk yang ada dan buluh itu akan jadi lebih cantik," katanya kepada Astro AWANI.
Menjelaskan lanjut, katanya dia meraih banyak tempahan dari seluruh Malaysia khususnya dari Melaka dan Negeri Sembilan menjelang Aidilfitri ini.
"Untuk bulan puasa tahun ini, hampir 500 batang pelita terjual dan masih lagi ada permintaan.
"Pelita panjut yang biasa adalah sekitar harga RM13 manakala untuk koleksi batik pula, ia dijual dengan harga RM15.
"Pelita itu turut dilengkapi dengan lapan sumbu dan 'kakinya'. Manakala, dari segi keperluan minyak pula, ia hanya memerlukan kira-kira 300 mililiter untuk satu panjut," katanya.
Selain panjut, bapa kepada dua cahaya mata itu juga mempelbagaikan perniagaannya dengan membuat tabung buluh bercorak batik.
"Untuk lepas raya, kami akan kekalkan lagi momentum buluh ini. Saya akan guna buluh-buluh yang tidak boleh dipakai dan jadikan ia tabung.
"Tabung buluh ni kita dah pakai dari zaman dulu lagi. Tapi baru-baru ini, saya buat tabung buluh itu dengan bercorakkan batik di mana kita warnakan dan juga hiaskan tabung tersebut... jadi ia nampak lebih berbeza," katanya.
#panjut #pelita #pelita buluh #Pak Tam
;