Aidilfitri: Orang ramai berpusu ke kaunter zakat fitrah
Azee Shafy
Mei 1, 2022 06:45 MYT
Mei 1, 2022 06:45 MYT
KUANTAN: Orang ramai yang mengunjungi Bazar Aidilfitri di Jalan Stadium, Kuantan tidak melepaskan peluang untuk menunaikan zakat fitrah mereka pada malam Raya.
Memandangkan tarikh hari Raya pada 2 Mei, mereka sanggup beratur untuk membayar zakat fitrah melalui beberapa amil dari Pusat Kutipan Zakat Pahang yang ditugaskan di kawasan itu.
Mohd Azrin Shukor, 45, berkata, pada awalnya dia berhasrat menunaikan zakat fitrah sehari sebelum Aidilfitri tetapi tidak menyangka Aidilfitri disambut lebih awal.
"Selalu memang bayar zakat fitrah pada malam Raya, itu rutin setiap kali Ramadan. Cuma tahun ini, tidak sangka pula Hari Raya diumumkan awal.
"Malam ni saya bergegas ke kawasan tumpuan seperti Bazar Aidilfitri di sini untuk bayar zakat fitrah. Bimbang esok tak sempat sebab mungkin amil pun kena serbu," katanya.
Mohd Hasril Jailani, 45, berkata, walaupun terpaksa bergegas ke Bazar Aidilfitri semata-mata untuk membayar zakat fitrah namun usahanya berbaloi.
Katanya, dia terpaksa meredah trafik yang sesak untuk menunaikan ibadah itu.
"Bukan tidak boleh bayar pagi hari Raya, tapi bimbang juga tidak sempat. Sebab saya percaya, ramai yang membayar zakat fitrah mereka pada hujung-hujung Ramadan," katanya.
Sementara itu, amil, Ahmad Zamzamiri Ahmad memberitahu kaunter yang dibuka untuk pembayaran zakat fitrah penuh dengan orang ramai yang beratur bermula jam 8.30 malam.
Katanya, ini merupakan malam ketiga dia berada di kawasan tumpuan itu bagi memudahkan orang ramai membayar zakat fitrah.
"Urusan pembayaran zakat fitrah bagi setiap seorang tidak sampai seminit pun, jadi urusan lebih cepat dan mereka yang beratur pun tidak lama.
"Cumanya, apabila menjelang tengah malam semakin ramai pula yang beratur. Namun, saya menerima kehadiran mereka untuk menunaikan ibadah tersebut," katanya.