Aidilfitri lewat sehari di Singapura beri lebih masa buat persiapan Hari Raya - Wahyu Rahman
Rahimah Abdullah
Mei 3, 2022 20:40 MYT
Mei 3, 2022 20:40 MYT
KUALA LUMPUR : Aidilfitri yang disambut Singapura pada Selasa, lewat sehari dari Malaysia, disifatkan memberi lebih masa kepada umat Islam di republik itu untuk membuat persiapan Hari Raya.
Pelakon, pengarah dan penerbit drama, Wahyu Rahman, berkata ia termasuk membuat persediaan juadah Raya yang menjadi satu kemestian setiap kali Aidilfitri.
Wahyu juga berkata, Aidilfitri tahun ini seolah-olah disambut dua kali oleh rakyat Singapura disebabkan rakan-rakan dan saudara mara dari Malaysia sudah mula menyampaikan ucapan Hari Raya sehari lebih awal.
"Pada saya ia memberi masa untuk kita membuat persediaan. Namun kalau macam seperti di sana (Malaysia), saya rasa kesusahannya ialah persiapan saat akhir perlu dilakukan... nak siapkan makanan dan sebagainya.
"Kami tidak ada masalah sebab ikut mufti di sini. Ia lebih senang dan mudah untuk kami. Kami juga dapat panggilan dari teman di Malaysia juga, jadinya seperti sambut dua Hari Raya, kita rasa lebih meriah," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Wahyu yang juga usahawan, berkata tidak mempunyai sebarang masalah apabila mengetahui Malaysia menyambut Aidilfitri awal sehari dari Singapura.
"Ramai antara kami yang mempunyai konsep hidup yang agak mudah... di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Jadi apabila mufti mengisytiharkan yang Hari Raya jatuh hari ini, maka kami sambut Raya itu.
"Lagipun kehidupan ini satu sambutan perayaan. Lambat atau cepat sehari tidak mengapa kerana yang penting Hari Raya tahun ini diberi lebih kelonggaran dan dapat berjumpa sanak-saudara, sahabat dan orang yang kami cinta," ujarnya.
Malah katanya, salah satu keunikan di Singapura, Aidilfitri disambut meriah selama sebulan sama seperti puasa di bulan Ramadan.