Aidilfitri: KTMB perkenal tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia bagi laluan pantai timur

Nursyazwani Saiful Sham
April 14, 2022 09:40 MYT
Perkhidmatan ini akan beroperasi bagi laluan pantai timur yang bermula dari stesen KL Sentral ke stesen Tumpat dan sebaliknya serta 516 tiket ditawarkan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan perkhidmatan tren khas buat Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia.
KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, tren khas tersebut akan membuat perjalanannya pada 29 April ini.
Perkhidmatan ini akan beroperasi bagi laluan pantai timur yang bermula dari stesen KL Sentral ke stesen Tumpat dan sebaliknya serta 516 tiket ditawarkan.
Inisiatif ini merupakan kerjasama KTMB dan Kementerian Pengangkutan dengan slogan "Maghi Kelik Kampung" sebagai salah satu pengangkutan alternatif bagi mereka yang akan pulang ke kampung halaman dengan selamat dan tambang yang berpatutan.
Tren ini akan berlepas pada 29 April jam 10 malam dari stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen.
Dalam kenyataan sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, dengan adanya perkhidnatan ini ia dapat mengurangkan kesesakan dan memberi jaminanb keselesaan serta keselamatan kepada Keluarga Malaysia.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, tren khas ini adalah perkhidmatan istimewa dari KTMB untuk Keluarga Malaysia yang ingin pulang dengan keselesaan dan menjimatkan masa.
"Tren khas ini bakal dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior, koc buffet dan koc chillax untuk aktiviti solat atau moreh beramai-ramai.
"Tiket akan mula dijual pada 15 April dengan harga bermula RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala. Cenderahati khas juga akan diberikan kepada penumpang yang membuat perjalanan khas dengan tren khas ini," jelasnya.
Tambahan itu, susulan permintaan tinggi semasa musim perayaan ini, KTMB akan menyediakan dua tren elektrik (ETS) tambahan dengan 4,368 tiket.
Ia melibatkan perjalanan KL Sentral - Padang Besar dan sebaliknya bagi tarikh 29 April hingga 2 Mei dsan 6 Mei hingga 8 Mei.
Jualan tiket bagi tren tambahan akan mula dijual pada 15 April.
#Aidilfitri #KTMB #Ekspres Khas Keluarga Malaysia
;