Aidilfitri: Harga siling ayam, telur dimuktamad esok - Salahuddin
Hilmi Malik
Mac 29, 2023 14:47 MYT
Mac 29, 2023 14:47 MYT
PUTRAJAYA: Harga siling bagi bekalan ayam dan telur menjelang sambutan Aidilfitri akan dimuktamadkan esok sementara menantikan perbincangan dua kementerian pada petang Rabu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu juga penting dalam memastikan bekalan mencukupi menjelang musim perayaan tersebut.
“Kita akan lihat esok dari segi bekalan dahulu, ia mesti dipastikan cukup dan ia tanggungjawab MAFS (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan).
“Setakat minggu lepas, KPDN menerima data daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bahawa bekalan sehingga Hari Raya Puasa adalah stabil dan mencukupi.
“Oleh kerana ada desas-desus (harga turun) beberapa hari ini, KPDN dan MAFS akan berjumpa petang ini untuk periksa secara tuntas data-data terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan geran kajian, pembangunan dan pengkomersilan (RDC) Program Khazanah Alam Industri Jualan Langsung serta serahan lesen jualan langsung di Kementeriannya pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, tidak berlaku sebarang kenaikan harga yang mendadak membabitkan bekalan ayam dan telur di pasaran.
“Kita berasakan barang-barang kawalan telah kita pantau dengan baik dan kita pastikan tidak berlaku pencatutan harga yang melampau.
“Demikian juga harga barang kawalan yang masih kita pantau, jadi pegawai-pegawai kita setakat hari ini masih memantau dan tidak berlaku isu-isu yang melanggar (peraturan),” ujarnya lagi.
Meskipun berlaku peningkatan harga ayam di ladang, namun Salahuddin menyatakan harga siling sedia ada masih terkawal dan tidak membebankan pengguna.
Sebelum ini, wujud kebimbangan berhubung kekurangan bekalan asas itu khususnya menjelang Syawal selain keresahan pengguna berhubung ketidaktentuan harga di pasaran.