Aidilfitri: Hanya 20 peratus anggota Bomba KL dibenar cuti

Bernama
April 22, 2022 04:05 MYT
Nordin berucap pada Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran di SOGO, Kuala Lumpur, 22 Apr, sempena musim perayaan Aidilfitri yang akan disambut pada 3 Mei ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Hanya 20 peratus pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dibenarkan bercuti pada musim Hari Raya Aidilfitri ini, kata Pengarahnya Nordin Pauzi.
Beliau berkata setiap pegawai dan anggota jabatan itu hanya berpeluang sekali cuti dalam tempoh lima tahun untuk menyambut perayaan berkenaan.
"Cuba bayangkan setiap anggota yang menyambut perayaan ini hanya berpeluang bersama keluarga sekali sahaja sepanjang lima tahun kerana mereka perlu bersedia di balai bomba atau lokasi kawasan jagaan.
"Sepanjang musim perayaan ini juga anggota akan mengadakan rondaan menggunakan jentera pasukan di lokasi tertentu," katanya selepas melancarkan kempen kesedaran keselamatan kebakaran dan pemeriksaan bangunan sempena Hari Raya Aidilfitri di sebuah pusat beli-belah di sini pada Jumaat..
Mengenai pemeriksaan keselamatan kebakaran premis dan bangunan, Nordin berkata sebanyak 1,014 premis di ibu kota diperiksa tahun lepas dan sebanyak 511 premis telah mendapat Sijil Perakuan Bomba.
-- BERNAMA
#Nordin Pauzi #cuti aidilfitri #JBPM Kuala Lumpur #pemeriksaan keselamatan kebakaran premis
;