Aidilfitri: Disaran tidur sekurang-kurangnya enam jam sebelum balik kampung
Umavathi Ramayah
April 29, 2022 16:19 MYT
April 29, 2022 16:19 MYT
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihat untuk mendapatkan waktu tidur mencukupi sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Puasa.
Pengerusi Lembaga Pengarah Global Alliance of Road Safety, Prof Kulanthayan KC Mani berkata, namun demikian jika mereka masih mengantuk ketika dalam perjalanan, pemandu disyorkan untuk mendapatkan waktu tidur yang berkualiti iaitu minimum 20 minit bagi mengelakkan berlakunya micro sleep atau terlelap seketika.
"Kita kena ingat terdapat dua kategori tidur iaitu tidur kualiti dan satu lagi tidur kuantiti. Beberapa hari sebelum perjalanan, saya syorkan pemandu intuk mendapatkan tidur kuantiti iaitu antara enam dan lapan jam.
"Tetapi kalau mereka mengantuk ketika perjalanan, sebaik mungkin disaran untuk menghentikan kenderaan di mana-mana kawasan rehat dan rawat (R&R) terdekat dan tidur seketika iaitu sekurang-kurangnya 20 minit," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
Pada masa yang sama, Kulanthayan mengingatkan orang ramai sama ada pemandu atau penumpang yang duduk di bahagian belakang supaya memakai tali pinggang keledar kerana langkah keselamatan itu mampu mengurangkan kebarangkalian kematian antara 40 dan 50 peratus.
"Andai kata berlakunya kemalangan, untuk mengelak daripada kecederaan, satu-satunya produk keselamatan yang kita ada dan cukup efisien adalah tali pinggang keledar," ujarnya.
Menurutnya, kegagalan penumpang di belakang untuk memakai tali pinggang keledar bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah ia akan menambah risiko kepada pemandu dan penumpang di hadapan.