Aidilfitri dan Kaamatan, Sabah jangka pertambahan kes COVID-19 jika rakyat lalai SOP

Astro Awani
Mei 3, 2022 04:30 MYT
Peningkatan jangkitan baharu dijangka berlaku jika rakyat Sabah alpa dengan SOP memandangkan terdapat dua perayaan bulan Mei ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sabah turut menjangkakan trend jangkitan COVID-19 di negeri itu akan meningkat selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri seperti yang diramalkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, trend peningkatan selepas Aidilfitri itu turut disumbang perayaan Pesta Kaamatan hujung bulan ini jika masyarakat gagal mematuhi SOP.
"Bagaimanapun kita boleh mengurangkan angka pertambahan tersebut dengan mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa menyambut dua perayaan ini termasuk pematuhan semua saranan Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di tempat terbuka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Masidi juga memberitahu data kajian dalam beberapa bulan ini menunjukkan majoriti kes baharu di Sabah berpunca daripada jangkitan sporadik.
Sehubungan itu, katanya, masyarakat di Sabah digalakkan terus memakai pelitup muka ketika berada di khalayak ramai seperti majlis-majlis sambutan dan perayaan.
Mengulas mengenai kes jangkitan baharu, Masidi berkata hanya 12 kes positif dilaporkan pada Selasa dan 11 daripadanya dalam Kategori 1 dan 2 manakala satu kes dalam Kategori 4.
"Tiada jangkitan baharu dilaporkan di 22 daripada 27 daerah di Sabah sepanjang 24 jam lalu. Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan enam kes, diikuti Putatan dan Tenom dengan dua kes sementara Tawau dan Semporna masing-masing satu kes," katanya.
#Sabah meningkat Aidilfitri #kes positif #Masidi Manjun #pertambahan kes positif #Sabah