Aidilfitri: Bomba kenal pasti 12 lokasi berisiko di PLUS dan LPT
Bernama
Mac 19, 2025 21:04 MYT
Mac 19, 2025 21:04 MYT
Nor Hisham berkata, matlamat utama JBPM adalah untuk sampai ke lokasi berlaku kemalangan tidak lewat dari setengah jam setelah berlaku sebarang insiden. - Bernama
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 12 lokasi berisiko berlaku kemalangan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sempena Aidilfitri akan datang.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pasukannya akan ditempatkan di semua lokasi tersebut bermula 29 Mac hingga 3 April.
"Dua lebuh raya ini menjadi tumpuan kita...matlamat utama kami adalah untuk sampai ke lokasi berlaku kemalangan tidak lewat dari setengah jam setelah berlaku sebarang insiden.
"Berdasarkan pengalaman kita apabila berlaku sebarang kejadian di lebuh raya tersebut ia boleh menyebabkan kesesakan trafik yang panjang jadi untuk mengurangkan impak daripada insiden itu kita letakkan anggota di lokasi tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelantikan Koperasi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Berhad (KOBOPEM) Advance Sdn Bhd sebagai operator stesen pelbagai bahan api Petroleum Sarawak Berhad (Petros) Batu Kawa di sini, hari ini.
Sementara itu, Nor Hisham berkata bagi Sarawak, JBPM tidak akan meletakkan anggota di tempat tertentu sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo tetapi akan melakukan rondaan sempena Aidilfitri nanti.
-- BERNAMA