Aidilfitri: Bimbang kesesakan teruk, NGO mohon JKR tangguh tutup jalan di Gua Musang
Bernama
Mac 31, 2023 15:29 MYT
Mac 31, 2023 15:29 MYT
GUA MUSANG: Pertubuhan Martabat Sejagat (Martabat) memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji semula arahan penutupan laluan utama Gua Musang-Kuala Lipis bagi kerja-kerja pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang sebelum ini dikenali sebagai Central Spine Road (CSR), di sini.
Pertubuhan mewakili anak perantau di Gua Musang itu, menerusi kenyataan, membantah tindakan penutupan tersebut yang dipercayai akan menyebabkan kesesakan jalan raya luar biasa, di samping mengganggu urusan seharian penduduk sekitar, terutama ketika musim perayaan.
Setiausaha Martabat Mohd Khairulhisham Norudin berkata tindakan menutup laluan utama pada tempoh tersebut dikhuatiri memberi kesan terhadap kelancaran perjalanan pengguna jalan raya, terutama buat anak perantau di Kelantan yang dijangka pulang ke kampung bermula 21 April ini.
"Jalan ini adalah laluan utama anak perantau di Kelantan. Mengikut jangkaan kira-kira sejuta pengguna jalan raya akan menggunakan jalan persekutuan ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 23 April ini," katanya.
JKR Jajahan Gua Musang dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan laluan di FT2747 Kilometer (KM) 3.9 (Simpang Hospital) hingga KM2.4 (jambatan Taman Damar) dan FT2745 KM0.8 (bawah jejambat Taman Damar) akan ditutup kepada semua lalu lintas di kedua-dua arah, bermula Rabu hingga 29 April, dari 8 pagi hingga 7 petang.
Mohd Khairulhisham berkata Martabat mencadangkan agar pihak berkaitan memfokuskan kerja pemasangan cerucuk di laluan lain terlebih dahulu, memandangkan penutupan itu dijangka mengambil masa lama dan berakhir pada hujung April.
Sementara itu, Pengarah JKR Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail dalam hantaran di Facebook berkata pihaknya mengambil maklum kegusaran pengguna berkaitan penutupan jalan itu.
Katanya, jalan alternatif FT 008 yang lama lebih selesa dan luas untuk menampung pertambahan trafik di musim perayaan nanti.
"JKR telah mengambil pertimbangan yang sewajarnya sebagai mitigasi untuk mengurangkan kesesakan memandang laluan tersebut terdapat beberapa 'bottleneck' (jalan sempit) kesan pembinaan jalan baharu LTU.
"JKR Gua Musang akan mengeluarkan notis tambahan secara rasmi dalam masa terdekat," katanya.
Hasil tinjauan setakat pagi ini, bagaimanapun, mendapati jalan itu masih dibuka.
-- BERNAMA