Aidilfitri: APAD harap lebih banyak pengendali bas ekspres mohon LPS

Bernama
Mac 29, 2024 06:00 MYT
Sejak permohonan LPS dibuka pada 11 Mac lepas, APAD telah menerima 174 permohonan dan jumlah tersebut dijangka meningkat sebelum tarikh tutup permohonan pada Selasa depan (2 April). - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berharap lebih banyak pengendali bas ekspres memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi memberikan perkhidmatan yang berkualiti, selamat dan efisien kepada pengguna sempena sambutan Aidilfitri ini.
Bagaimanapun, APAD dalam kenyataan pada Jumaat mengingatkan pengendali bas ekspres berkenaan supaya mengenakan tambang yang munasabah dan tidak sewenang-wenang menaikkannya selain perlu mematuhi jadual tambang yang telah ditetapkan berdasarkan kategori ekonomi atau eksekutif.
"Sejak permohonan LPS dibuka pada 11 Mac lepas, APAD telah menerima 174 permohonan dan jumlah tersebut dijangka meningkat sebelum tarikh tutup permohonan pada Selasa depan (2 April).
"APAD tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali yang mengenakan caj tambang tambahan yang tidak munasabah dan membebankan pengguna," menurut APAD serta memaklumkan agensi itu akan menjalin kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan tiada pengusaha menaikkan kadar tambang sewenang-wenangnya.
Menurut APAD pengguna juga dinasihatkan merancang perjalanan dan tidak membuat pembelian tiket pada saat akhir dengan mengenal pasti jenis perkhidmatan bas ekspres sama ada kelas ekonomi atau eksekutif.
Menurut kenyataan itu pengguna juga diingatkan membuat pembelian tiket melalui saluran yang sah dan berdasarkan tinjauan APAD terutama di seluruh Semenanjung, jualan tiket secara dalam talian melalui Sistem Tiket Berpusat (CTS) masih dibuka.
"Selain bas ekspres, pengguna juga digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan APAD sentiasa komited memastikan perkhidmatan pengangkutan awam terjamin serta mencukupi sempena musim perayaan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#bas ekspres #Aidilfitri #APAD #LPS
;