Aidilfitri: Amalan takbir rumah ke rumah dihidupkan semula
Adie Sufian Zulkefli
Mei 1, 2022 07:39 MYT
Mei 1, 2022 07:39 MYT
JERLUN: Selepas dua tahun tidak dapat merasai suasana takbir raya dari rumah ke rumah, kali ini penduduk Kampung Simpang Empat Kerpan di sini mewujudkan kembali acara tradisi yang diamalkan sejak ratusan tahun dahulu.
Tambah seronok, pada tahun ini, anak-anak yang berada di perantauan dapat pulang dan sama-sama bertakbir beramai-ramai pada malam hari raya.
Ketua kampung Ishak Ayob, 61 tahun, yang ditemui Astro AWANI berkata, tradisi ini perlu diteruskan agar tidak hilang ditelan arus peredaran masa.
Menurutnya, aktiviti takbir raya ini dijalankan selepas selesai solat Isyak, apabila penduduk kampung dari pelbagai lapisan umur akan mengunjungi rumah masing-masing untuk bertakbir.
"Kalau dulu, jarak antara satu rumah dan rumah yang lain, agak jauh, tak macam sekarang, rumah dekat-dekat. Jadi, kalau dulu, penyertaan tak berapa ramai.
"Tetapi sekarang, kita tengok golonan Gen-Y pun begitu berminat. Dan rumah kampung kita sudah rapat-rapat. Jadi, keadaan jadi lebih meriah dengan suasana yang ramai ini," katanya.
Guru agama, Ismail Romli, 43 tahun, menceritakan, semasa aktiviti dari rumah ke rumah itu, mereka yang mengambil bahagian akan bergilir-gilir menjadi tekong untuk melaungkan takbir.
Dengan cara ini, katanya, ia juga dapat mendidik generasi muda melaungkan kebesaran Allah sebagai tanda kemenangan umat Islam beribadah, selain menahan lapar dan dahaga pada bulan Ramadan.
"Tujuannya untuk kita merapatkan hubungan silaturahim antara adik-beradik, jiran-tertangga, saudara-mara. Inilah peluang yang paling berkesan bagi saya, sebab kita generasi terkini ini, masing-masing.
"Jadi, kita mengambil peluang dan kesempatan ini untuk mengajak terutamanya anak-anak muda, anak-anak yang masih bersekolah, rendah dan menengah, kita hendak wujudkan semula aktiviti ini.
"Betapa takbir ini penting. Selain daripada kita melafazkannya, kita juga mendapatkan pahala di sisi Allah," katanya.
Tradisi itu dipelajari dan diteruskan generasi muda supaya kesinambungan itu diteruskan.
Abdul Naif Mahamad Zuki, 21 tahun, seorang penuntut institusi pengajian tinggi berkata, aktiviti ini meriah setiap tahun kerana waktu ini dia bersama rakan yang lain dapat merasai suasana Aidilfitri.
Ia akan diikuti dengan aktiviti bermain bunga api.
"Dulu-dulu, pernah sebelum PKP (perintah kawalan pergerakan), ramai-ramai adik-beradik saya, sepupu-sepupu semua, kami selalu berkumpul di satu rumah, kemudian kami ramai-ramai takbir di pagi raya.
"Selepas itu, dah PKP dua tahun, semua tak boleh balik kampung. Tahun ini rasa satu kelainan apabila dapat tahu kita boleh mengeratkan persaudaraan, boleh balik berkumpul.
"Jadi, saya rasa bersyukur sebab dapat berkumpul bersama-sama," katanya.
Ketika kaum lelaki bertakbir memuji kebesaran Allah, kaum wanita pula biasanya akan meneruskan aktiviti di dapur dengan membalut ketupat palas dan memasak rendang daging untuk dijadikan santapan di pagi raya.
Sabariah Sudin, 60 tahun, berkata, ketika inilah anak-anak mereka yang masih kecil belajar membuat ketupat dan rendang dan segala resepi dan ilmu akan diturunkan.