Aidilfitri: Aliran trafik LPT1 perlahan

Harits Asyraf Hasnan
Jun 23, 2017 19:27 MYT
Penggunaan lorong kecemasan serta pelanggaran peraturan jalan raya tidak begitu drastik berbanding tahun lalu. - Gambar Astro AWANI
Trafik bergerak perlahan di beberapa lokasi selepas Plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur.
Komander Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) (KL-Lanchang), Inspektor Awang Abu Bakar Awang Rosli berkata trafik bergerak perlahan di kawasan mendaki, selekoh dan terowong Genting Sempah.
"Berlaku pertambahan kenderaan yang menuju ke Pantai Timur jadi beberapa kawasan di LPT1 seperti dekat terowong Genting Sempah, kemudian di kawasan mendaki dan selekoh turut bergerak perlahan.
"Kesesakan ini bukan disebabkan kemalangan, tetapi pertambahan kenderaan. Ada juga beberapa kenderaan yang mengalami masalah teknikal," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Tambahnya, penggunaan lorong kecemasan serta pelanggaran peraturan jalan raya tidak begitu drastik berbanding tahun lalu.
Sementara itu, syarikat konsesi LPT1, ANIH Berhad menjangkakan kira-kira 2.2 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) manakala sejumlah 850,000 kenderaan pula akan bertumpu di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) untuk pulang ke kampung halaman di Pantai Timur sempena sambutan Aidilfitri ini.
Jumlah berkenaan adalah anggaran kenderaan yang menggunakan KLK dan LPT1 bagi tempoh 15 hari Op Selamat 11 yang bermula dari 18 Jun hingga 2 Julai 2017.
#Aidilfitri #genting sempah #kemalangan #Lebuhraya Pantai Timur 1 #LPT1 #Pantai Timur #tol
;