Aidilfitri: Aliran trafik dijangka meningkat 5 kali ganda hujung minggu ini - Polis Terengganu

Nur Fazlizai Ali
Mei 6, 2022 11:20 MYT
Polis Terengganu menjangkakan aliran trafik di negeri itu akan meningkat sekitar empat hingga lima kali ganda pada Sabtu dan Ahad ini. -Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menjangkakan aliran trafik di negeri itu akan meningkat sekitar empat hingga lima kali ganda pada Sabtu dan Ahad ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Ismail Man berkata ia berikutan orang ramai yang mula melakukan pergerakan meninggalkan kampung halaman untuk kembali ke lokasi mereka.
Katanya, menerusi pemantauan yang dilakukan sejak Khamis, sudah berlaku pergerakan kenderaan keluar dari Terengganu untuk pulang ke destinasi masing-masing.
"Saya rasa untuk hari ini pun dah ada yang balik semula ke tempat kerja mereka, terutama di Kuala Lumpur dan Johor.
"Jadi kita jangkakan lalu lintas akan sesak pada 7 dan 8 hari bulan.
"Kita jangkakan pertambahan kenderaan 4 dan 5 kali ganda," kata Ismail.
Beliau berkata beberapa pendekatan telah dilaksanakan bagi mengelakkan kesesakan sepanjang cuti perayaan Aidilfitri ini.
Kata Ismail lagi, pihaknya juga turut menempatkan anggota di kawasan yang yang dijangka berlaku kesesakan dalam tempoh perayaan ini termasuk di daerah Marang, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut.
Orang ramai dalam pada itu dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memandu dengan berhati-hati bagi mengelak berlakunya insiden tidak diingini.
#aliran trafik #Ibu Kota #perantau #kampung halaman
;