Aidilfitri: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar

Bernama
April 6, 2024 21:24 MYT
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan lancar setakat 8 malam ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan lancar setakat 8 malam ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Plaza Tol Jalan Duta (arah utara) dan Plaza Tol Sungai Besi (menuju selatan) terkawal manakala Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur) menunjukkan sedikit peningkatan jumlah kenderaan.
"Setakat ini, semua laluan lebuh raya bergerak lancar kecuali di bahagian selatan tanah air perlahan akibat pertambahan jumlah kenderaan dari Woodlands (Singapura) ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor.
"Plaza Tol Gombak ada peningkatan jumlah kenderaan tetapi masih lancar," katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut jurucakap itu aliran trafik di Lebuhraya KL-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2 juga lancar untuk dilalui setakat ini.
"Di Tol Bentong, aliran trafik mulai sesak disebabkan peningkatan jumlah kenderaan dianggarkan sejauh 200 meter menuju Pantai Timur," katanya.
Akaun rasmi X PLUS Trafik pula memaklumkan terdapat kenderaan dilaporkan rosak di lebuh raya menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan.
"Awas! Bas rosak Kilometer 258.2 arah selatan dari Port Dickson (S) ke Senawang. Lorong kiri terhalang. Trafik terkawal. Pandu berhati-hati. Harap maklum," menurut hantaran dalam laman berkenaan.
-- BERNAMA
#aliran trafik #Aidilfitri #lebuh raya utama #lancar
;