Aidilfitri: Aliran trafik di beberapa lebuh raya sesak pagi ini
Bernama
Mei 1, 2022 11:36 MYT
Mei 1, 2022 11:36 MYT
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya dan jalan utama menuju ke utara, selatan dan Pantai Timur semakin sesak pagi ini berikutan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
Peningkatan aliran trafik hari ini sudah dijangka susulan pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik mulai perlahan dari arah selatan di Nilai Utara menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban manakala kesesakan hampir tiga kilometer (km) berlaku di Senai Utara ke Kulai.
Sementara tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat 9.30 pagi ini mendapati aliran trafik tinggi dan kesesakan berlaku sejauh 33km bermula dari Greenwood di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) danJalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Plaza Tol Gombak.
Sementara itu, di utara, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melaporkan aliran trafik turut perlahan sebelum masuk Plaza Tol Rawang Selatan, dari Sungai Buloh ke arah Sungai Buaya selain dari Ipoh Selatan ke Ipoh Utara dan dari Terowong Menora menuju Sungai Perak.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik.
-- BERNAMA