Aidilfitri: AirAsia tawar lebih 22,000 tempat duduk tambang tetap ke Sabah, Sarawak

Hasimi Muhamad
Mac 4, 2024 16:17 MYT
Loke (dua, kiri) hadir pada Majlis Pelancaran Penerbangan Tambang Tetap Hari Raya oleh AirAsia di Sepang. - Foto Astro AWANI
SEPANG: AirAsia menawarkan lebih 22,000 tempat duduk pada tambang rendah tetap untuk penerbangan lewat malam sempena sambutan Hari Raya antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Tawaran tersebut bermula hari ini sehingga 17 April depan, melibatkan 122 penerbangan lewat malam untuk 11 destinasi antara Semenanjung ke dua negeri berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata inisiatif daripada syarikat tambang rendah itu melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri; dan Johor Bahru ke Kuching, Sibu, atau Miri dengan tambang tetap RM298 sehala.
Selain itu, bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan, atau Tawau; serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu, tambang tetap ditawarkan pada harga RM348 sehala.
“Disember lalu, kerajaan telah menetapkan tambang maksimum RM599 untuk penerbangan kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak, dan Labuan, terpakai untuk perjalanan tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Gawai, Kaamatan dan Krismas.
“Ini bagi menjawab aduan mengenai tambang penerbangan sehala melebihi RM1,000, yang membebankan saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak apabila mereka ingin pulang ke kampung.
“Saya mengakui bahawa dasar ini mungkin tidak dapat menampung semua permintaan, tetapi kerajaan melakukan yang terbaik dalam kemampuan kewangannya untuk menyediakan tambang yang berpatutan semasa musim perayaan,” katanya pada Isnin.
Loke berucap pada Majlis Pelancaran Penerbangan Tambang Tetap Hari Raya oleh AirAsia di Sepang.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam.
Sementara itu, Bo dalam kenyataan berasingan berkata, syarikat itu juga mengendalikan 735 penerbangan mingguan dengan tambang biasa ke Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai sokongan kepada inisiatif musim perayaan oleh kerajaan.
Menurutnya, penerbangan dengan tambang rendah tetap antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak bukan hanya menjadikan perjalanan lebih berpatutan.
Sebaliknya, ujar beliau ia membuktikan komitmen syarikat itu untuk menyokong inisiatif tambang musim perayaan oleh kerajaan.
#AirAsia #Anthony Loke #Aidilfitri #ambang rendah tetap
;