Aidilfitri: 34 lori tangki, 855 tangki statik sedia hadapi kemungkinan gangguan bekalan di Pahang
Sinar Harian
April 13, 2023 13:03 MYT
April 13, 2023 13:03 MYT
KUANTAN: Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) menyediakan pelan kontigensi sebagai persediaan awal berdepan kemungkinan gangguan bekalan air di seluruh daerah di negeri ini sempena cuti perayaan hari raya Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, tempoh efektif pelan kesiapsiagaan itu selama 14 hari bermula 17 hingga 30 April ini.
Menurutnya, sebanyak 34 lori tangki dalam keadaan bersedia untuk agihan bekalan selain akan menempatkan segera 855 tangki statik di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi menghadapi gangguan bekalan termasuk tekanan air rendah di negeri ini.
"Anggota kerja teknikal Paip dari pelbagai peringkat juga akan bertugas sepanjang musim perayaan dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Sepanjang tempoh perayaan ini, semua 73 loji rawatan air akan dipastikan beroperasi seperti biasa tanpa gangguan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Paip bersama media dan anak yatim di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Saiful Zaini berkata, beberapa kawasan dijangka akan mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah berikutan berlaku peningkatan mendadak penggunaan air sepanjang musim perayaan ini terutama di kawasan Felda dan kampung tradisional.
"Bagaimanapun, melalui persediaan awal ini, pihak Paip optimis dapat menghadapi kemungkinan itu melalui tindakan pantas kakitangan bertugas bagi mengelak kesulitan dihadapi pengguna.
"Pada masa sama, pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemat dan melakukan persediaan dengan menyediakan bekalan air secukupnya bagi kegunaan musim perayaan," ujarnya.
Beliau berkata, sekiranya berlaku gangguan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (Pulapel) melalui talian 09-5739999 yang akan beroperasi selama 16 jam bermula 7 pagi hingga 11 malam setiap hari.
Sementara itu katanya, pada majlis berbuka puasa itu, selain pengamal media dan kakitangan Paip, turut diraikan anak-anak yatim dari Kampung Huma Luas dan Kampung Dalam, Chenor, Maran.
Menurutnya, dua kampung itu merupakan kampung angkat Paip sejak tahun lalu melalui Program Tranformasi Desa Pahang (Teras) Program Kampung Angkat Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri Pahang.
"Dalam tempoh Oktober tahun lalu hingga kini, sebanyak lapan program telah dijalankan bersama penduduk kampung angkat itu termasuk sumbangan kepada asnaf, kursus motivasi pendidikan dan bengkel keusahawanan," katanya. - Sinar Harian