Aidiladha tuntut pengorbanan untuk bantu umat Islam di seluruh dunia
Bernama
Oktober 26, 2012 11:42 MYT
Oktober 26, 2012 11:42 MYT
Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban bukan sekadar menuntut umat Islam untuk melakukan ibadah korban tetapi juga pergorbanan untuk membantu umat Islam di seluruh dunia yang hidup dalam keadaan ketakutan dan kedaifan.
Ketika menyampaikan khutbah khas solat sunat Aidiladha, Iman 1 Masjid Jamek Kampung Baru, Abdul Ahad Abu Bakar, berkata umat Islam seperti di Palestin, Kashmir dan Afganistan hidup dalam keadaan melarat kesan negara mereka yang dilanda peperangan, justeru adalah wajar bantuan kemanusiaan disumbangkan kepada tempat terbabit.
"Itulah pergorbanan terbesar yang wajar dilakukan umat Islam di Malaysia dalam konteks perayaan ini, sumbangan material, wang ringgit, tenaga, buah fikiran dan doa amat diperlukan bagi menjamin masyarakat Islam di seluruh dunia hidup dalam keadaan aman dan tenteram," katanya.
Lebih 4,000 jemaah hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid terbabit awal pagi tadi.
Menurutnya nasib umat Islam perlu dibela agar tidak menjadi mangsa kekejaman negara luar yang ingin memecahbelahkan perpaduan kaum muslimin dan muslimat di seluruh dunia.
Teks yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghuraikan pergorbanan melalui konteks kesatuan dan perpaduan.
Menurut JAKIM, nasib saudara seagama di seluruh dunia begitu sengsara kerana setiap hari ada sahaja nyawa yang hilang tanpa mengenal kanak-kanak ataupun orang tua.
"Di Malaysia, masyarakatnya menangis kerana kehilangan orang tersayang sama ada sakit atau kemalangan namun di negara yang bergolak, masyarakatnya menangis disebabkan kematian yang berpunca daripada persengketaan dan kekacauan," menurut JAKIM.