Aidiladha: Trafik sesak, dijangka berterusan sehingga Sabtu
Muhafandi Muhamad
Julai 8, 2022 06:45 MYT
Julai 8, 2022 06:45 MYT
GUA MUSANG: Bahang sambutan Hari Raya Aidiladha semakin dirasai apabila kenderaan perantau semakin bertambah memasuki negeri Kelantan melalui pintu masuk Gua Musang.
Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Jalan Gua Musang-Kuala Krai semakin sesak dengan kenderaan dan dijangka bertambah sehingga malam hari raya nanti.
Tinjauan di Hentian Rehat dan Rawat Gua Musang di Rantau Manis mendapati kawasan itu dipenuhi perantau yang berhenti berehat sebelum meneruskan ke destinasi masing-masing.
Kebanyakan mereka tidak sabar untuk pulang meraikan dan melakukan aktiviti Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.
"Perjalanan oklah dekat Tol Gombak lancar sahaja cuma dekat Raub ada sangkut dua jam. Lepas trafik dekat Raub teruskan perjalanan macam biasalah. Tak ada lah kesesakan sampai tak gerak langsung.
"Pilih hari ini kononnya orang nak balik malam ini atau esok jadi kita ambil cuti sehari hari ini untuk kita balik cepatlah kononnya, tapi sama juga sebab ramai atas jalan," kata kerani Sarilal Hamzah.
Penjawat awam Mohd Nasrudin Daud pula menasihati orang ramai yang ingin pulang memandu dengan cermat serta ingat kepada orang yang tersayang.
"Dari Kuala Lipis tadi ada sedikit sesak. Cuma Gua Musang ke sini agak lancarlah.
"Bagi perantau yang ingin pulang ke destinasi masing-masing, saya harap memandu dengan cermat, ingat orang yang tersayang, jangan tergopoh gapah dalam memandu kenderaan. Selamat hari raya," katanya.
Selain Gua Musang, pintu masuk yang sering menjadi laluan kenderaan masuk ke Kelantan ialah melalui Jeli dan Pasir Putih.