Aidiladha suram, hilang dua anak serentak

Sinar Harian
Jun 16, 2024 18:57 MYT
Muhammad Zulqarnain (kiri) dan Ahmad Firashi maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Teroi Titi Lahar, Yan pada Sabtu. -Foto Sinar Harian
SIK: Aidiladha tahun ini suram buat sebuah keluarga di Kampung Charuk Tala, Jeniang di sini apabila kehilangan dua anak lelaki serentak selepas terbabit kemalangan pada Sabtu.
Pemandu bas, Mohd Delmi Mat Isa, 54, berkata, walaupun masih dalam keadaan terkejut, dia reda dengan pemergian anak ketiga, Muhammad Zulqarnain, 22, dan kelima, Ahmad Firashi Ilyas, 11, daripada enam beradik itu.
Menurutnya, mereka sekeluarga cukup terkesan dan hilang semangat untuk menyambut Aidiladha pada Isnin.
"Tak sangka mereka 'pergi' kedua-dua sekali gus di saat kita sedang buat persiapan nak sambut raya esok, kami pun dah hilang semangat nak raya," katanya.
Jelasnya, kedua-dua beradik itu cukup rapat antara satu sama lain dan ketika kejadian, Ahmad Firashi masih dalam keadaan demam.
"Saya dah pesan minta mereka balik sebelum malam...saya juga ada janji nak bawa Ahmad Firashi gunting rambut, tetapi tak kesampaian," jelasnya.
Katanya, mereka mengetahui kejadian itu setelah dimaklumkan seorang rakan yang datang ke rumah selepas solat Maghrib memaklumkan dua anak terlibat kemalangan.
"Luluh hati saya sebaik menerima berita itu hinggakan ibu mereka menangis selepas menerima panggilan telefon daripada pihak polis yang mengesahkan kejadian itu.
"Saya terus ke Unit Forensik Hospital Yan untuk melihat keadaan dua anak kami. Saya serta isteri hampir pengsan sebaik melihat kedua-duanya sudah kaku," katanya.
Mohd Delmi berkata, jenazah dua anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Maarifi, Jeneri di sini pada Ahad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua beradik maut kemalangan selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Teroi Titi Lahar, Yan pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Muhammad Zulqarnain dan Ahmad Firashi Ilyas meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, hasil siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki dua beradik itu datang dari arah Yan menghala ke Gurun manakala kereta dari arah bertentangan.
Difahamkan, kereta yang dipandu seorang warga emas dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal sebelum bertembung dengan motosikal yang dinaiki dua beradik itu.
Pemandu kereta berusia 61 tahun dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian dada. -Sinar Harian
#Aidiladha #Kampung Charuk Tala #kehilangan dua anak lelaki serentak #Muhammad Zulqarnain #Ahmad Firashi Ilyas
;