Aidiladha: Selangor sumbang 700 ekor lembu, 1,000 kambing

Bernama
Jun 14, 2024 13:29 MYT
Semua sumbangan ini akan diagih ke masjid dan surau di seluruh negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di Facebook hari ini.
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyumbang 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing bagi menjayakan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata untuk tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi menampung rakyat tidak berkemampuan melaksanakan ibadah berkenaan.
"Semua sumbangan ini akan diagih ke masjid dan surau di seluruh negeri," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Amirudin berkata dalam mencapai kualiti ibadah korban yang terbaik, kerajaan negeri menetapkan syarat kepada pembekal seperti berat minimum untuk lembu ialah 270 kilogram (kg) manakala 100kg untuk kambing.
"Seperti tahun-tahun sebelumnya, kerajaan negeri tidak pernah terlepas menyumbang untuk ibadah korban. Moga manfaatnya dirasai oleh umat Islam yang memerlukan," katanya.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #Aidiladha #Ibadah Korban #Selangor
;