Aidiladha: Polis perketat pemantauan di 18 lokasi 'hotspot'

Bernama
Julai 9, 2022 09:00 MYT
Pengguna jalan raya dinasihati supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi arahan polis serta lalu lintas. - Foto fail/BERNAMA
SEREMBAN: Polis memperketat pemantauan terutama di 18 laluan 'hotspot' di negeri ini yang dijangka berlaku kesesakan akibat pertambahan kenderaan menjelang Aidiladha esok.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ruslan Khalid berkata laluan berkenaan melibatkan empat lokasi di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Nilai (tiga), Seremban (dua), Tampin (dua), Kuala Pilah (dua), Jempol (dua) manakala Port Dickson, Jelebu dan Rembau masing-masing satu lokasi.
"Seramai 303 pegawai dan anggota terlibat dengan operasi itu. Rondaan akan dilakukan di lebuh raya, jalan Persekutuan dan negeri dengan penugasan khususnya daripada bahagian trafik, kereta peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan ketua-ketua balai.
"Penguatkuasaan sudah bermula semalam hingga 11 Julai, untuk operasi ini kita lebih memberi fokus kepada kelancaran lalu lintas. Tindakan penguatkuasaan hanya dikenakan sekiranya kesalahan berlaku secara terang-terangan di depan mata," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 790,000 atau pertambahan 75 peratus kenderaan dijangka memasuki negeri ini sempena Aidiladha berbanding 451,000 kenderaan pada hari biasa.
Ruslan menyarankan orang ramai yang ingin pulang ke Johor dari Kuala Lumpur supaya menggunakan terus laluan PLUS, manakala yang ingin ke Negeri Sembilan atau Melaka menggunakan Lebuhraya Kajang-Seremban dan jalan Persekutuan.
"Bagi yang ingin ke pantai Timur dari Kuala Lumpur melalui negeri ini boleh menggunakan Jalan Jelebu atau Kuala Pilah ke Muadzam Shah bagi mengelak kesesakan berganda," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi arahan polis serta lalu lintas khususnya tidak memotong di lorong kecemasan.
"Kepada mereka yang berada di kampung hendaklah sentiasa berhati-hati kerana kenderaan bertambah dan keadaan menjadi luar biasa di musim perayaan ini selain tidak membenarkan kenderaan mereka digunakan individu yang tidak mempunyai lesen memandu," katanya.
-- BERNAMA
#Aidiladha #kesesakan trafik #hotspot #pertambahan kenderaan
;