Aidiladha: Perdana Menteri sumbang 35 ekor lembu kepada 11 wilayah Felda

Bernama
Jun 17, 2024 15:40 MYT
Program korban merupakan satu daripada tumpuan diberi perhatian oleh Anwar (tengah) bagi memberi peluang kepada peneroka mendapat manfaat daripadanya. -Gambar fail/Bernama
ALOR GAJAH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbang sebanyak 35 ekor lembu kepada 11 wilayah Felda bagi menjalankan ibadah korban bersempena dengan Aidiladha.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata program korban merupakan satu daripada tumpuan diberi perhatian oleh Anwar bagi memberi peluang kepada peneroka mendapat manfaat daripadanya.
"Setiap wilayah berkenaan memperoleh kira-kira tiga ekor lembu bagi pelaksanaan program korban yang rata-ratanya dilaksanakan pada hari ini di seluruh negara melibatkan semua komuniti Felda dan masyarakat setempat.
"Kita dapat lihat kemeriahan program korban hari ini bersama pihak masjid, kepimpinan kampung dan peneroka ... nampak suasana muhibah itu berlaku dalam program ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Korban Felda MADANI di Felda Tun Ghafar Hutan Percha di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Kawal Selia Felda Jabatan Perdana Menteri Datuk Azlan Johar dan Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Datuk Mohd Banuri Aris.
Shamsul Iskandar berkata Perdana Menteri berharap golongan peneroka dapat mengambil ibrah daripada ibadah haji untuk melakukan perubahan dalam hidup, sekali gus menjayakan program korban dengan semangat gotong-royong, kerjasama, menyemarakkan rasa hormat-menghormati antara kepimpinan di peringkat akar umbi agar mendapat nikmat daripada program ibadah korban itu.
Terdahulu, beliau berkata program ibadah berkenaan melibatkan penyembelihan lapan ekor lembu serta seekor kambing dan tiga ekor lembu daripadanya merupakan sumbangan daripada Anwar.
-- BERNAMA
#Aidiladha #Anwar Ibrahim #Ibadah Korban #Felda #Shamsul Iskandar Mohd Akin
;