Aidiladha: Masjid di Johor lakukan korban ikut SOP
Siti Nur Aqilla Omar
Julai 11, 2022 11:00 MYT
Julai 11, 2022 11:00 MYT
PASIR GUDANG: Sambutan Hari Raya Aidiladha di Johor disambut dengan suasana sederhana tetapi meriah.
Hampir kesemua masjid terpilih yang mendapat kebenaran aktiviti korban melaksanakan ibadah itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan.
Tinjauan Astro AWANI di Masjid Al Falah Seri Alam, Pasir Gudang Johor mendapati lebih 100 penduduk sekitar tidak melepaskan peluang menyaksikan ibadah koran itu.
Sebanyak 15 ekor lembu, 22 kambing dan dua kerbau disembelih di masjid yang mempunyai ruang penyembelihan khusus yang lengkap.
Timbalan Pengerusi Masjid, Abd Rahman Manap berkata ibadah korban dilakukan secara teratur dan dibahagikan mengikut kumpulan.
"SOP melapah di masjid bahagi kepada team untuk petugas, kalau kita tengok hari ini pakaian berwarna-warni.
"Bagi team jawatankuasa kita warna oren, urus setia pakai baju hijau, petugas baju warna biru.
"Masjid Al Falah ini siap pada 2014 jawatankuasa masjid ketika itu, kita terus buat pusat sembelihan yang ada sekarang ini memang dari 2014.
"Jadi setiap tahun kita memang lebih daripada 10 ekor setiap tahun," katanya.
Pada tahun ini, kerajaan Johor membenarkan aktiviti korban sempena Aidiladha dilaksanakan di masjid dan surau terpilih.
Sebanyak 64 masjid dan 68 surau seluruh Johor sudah mendapat permit sebagai pusat aktiviti penyembelihan yang lengkap pada sambutan Aidiladha kali ini.
Mengikut peraturan, masjid dan surau yang tiada permit serta kebenaran, hanya dibenarkan sebagai lokasi untuk melapah ternakan korban dan membungkus serta mengedar daging sahaja.