Aidiladha: MAIK beri kebenaran tambah tempat sembelihan ibadah korban
Bernama
Julai 11, 2021 11:23 MYT
Julai 11, 2021 11:23 MYT
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bersetuju memberi kebenaran kepada pihak masjid bandar, jajahan dan mukim untuk menambah tempat sembelihan ibadah korban di lokasi yang sesuai.
Yang Dipertua MAIK Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata kebenaran tambahan itu diberikan berikutan pihaknya mendapat makluman terdapat masjid yang tidak memenuhi kriteria sebagaimana ditetapkan Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Korban dalam Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri Kelantan.
"Sehubungan itu, MAIK memberi kebenaran menambah tempat sembelihan ibadah korban di lokasi yang sesuai dengan mematuhi perkara-perkara seperti kawasan yang dicadangkan tersebut dikawal selia oleh pihak masjid bandar, jajahan dan mukim.
"Selain itu, sembelihan diadakan di dalam kawasan berpagar dan mempunyai keluasan yang mencukupi sekurang-kurangnya 10 meter persegi. Tapak penyembelihan yang sesuai, bersih dan selamat serta tidak berhampiran saliran awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tengku Mohamad Rizam, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, berkata jumlah maksima sembelihan korban juga hendaklah tidak melebihi lima ekor sehari atau 20 ekor lembu dalam tempoh empat hari (20 Julai-23 Julai).
Menurutnya ibadah korban yang dijalankan juga perlu mendapat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kepatuhan semua pihak terlibat seperti penganjur, peserta dan petugas dalam pelaksanaan ibadah korban, insya-Allah akan dapat mengurangkan risiko dan membendung penularan wabak COVID-19.
"Adalah diharapkan dengan pelaksanaan dan pematuhan garis panduan ibadah korban ini akan dapat membantu usaha memutuskan rangkaian wabak COVID-19," katanya.
Pada 2 Julai lalu, Kelantan membenarkan pelaksanaan ibadah korban, proses penyembelihan haiwan korban dibenarkan untuk dilaksanakan di rumah sembelih ruminan Kompleks Abatoir Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di tiga jajahan iaitu Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas.
Pelaksanaan itu turut dibenarkan di masjid bandar, jajahan, mukim dengan kelulusan MAIK, bagaimanapun, aktiviti korban persendirian atau keluarga adalah tidak dibenarkan.
-- BERNAMA