Aidiladha: Lembu korban terlepas tambatan naik minyak

Nur Fazlizai Ali
Julai 10, 2022 06:00 MYT
Insiden berlaku kira-kira jam 10.30 pagi Ahad ketika program korban di Masjid Kampung Bukit Besi. - Astro AWANI
DUNGUN: Kemeriahan sambutan hari raya Aidiladha di sebuah kampung di Terengganu bertukar menjadi detik cemas apabila seekor lembu yang hendak dikorbankan naik minyak dan merosakkan sebuah motosikal.
Insiden berlaku kira-kira jam 10.30 pagi Ahad ketika program korban di Masjid Kampung Bukit Besi, di sini.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi berkata sebelum kejadian, lembu yang berusia dua tahun setengah itu dibawa ke pekarangan masjid dengan sebuah lori.
Ketika diturunkan, tali yang mengikat lembu itu tiba-tiba putus menyebabkan haiwan terbabit mengamuk.
Orang ramai yang berada di lokasi berkenaan menjadi panik dan lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri.
Menurut Ghazali, ahli jawatankuasa masjid kemudiannya cuba menangkap lembu terbabit namun gagal sebelum haiwan itu ditembak menggunakan ubat pelali kira-kira sejam kemudian.
Jelasnya, ahli jawatankuasa kemudiannya bertindak menggantikan haiwan tersebut dengan lembu lain.
Dalam program itu, 11 ekor lembu disembelih dan diagihkan kepada seramai 150 penerima.
#Aidiladha #lembu naik minyak #Lembu Korban #Masjid Kampung Bukit Besi
;