Aidiladha: Aliran trafik lebuh raya utama mula bergerak perlahan

Bernama
Jun 27, 2023 22:13 MYT
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama bergerak perlahan tetapi masih lancar berikutan orang ramai mula bercuti dan melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidiladha, Khamis ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama bergerak perlahan tetapi masih lancar berikutan orang ramai mula bercuti dan melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidiladha, Khamis ini.
Jurucakap PLUS Trafik, memaklumkan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), trafik mulai perlahan di Slim River, Perak menuju Sungkai, arah utara dan Bandar Cassia, Pulau Pinang ke Juru.
"Trafik perlahan akibat lori rosak di Kilometer 13.1 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan dari Subang ke Shah Alam. Lorong kiri ditutup.
Selain itu, trafik perlahan di Kilometer 263 arah selatan dari Seremban ke Port Dickson juga akibat lori rosak," katanya ketika dihubungi malam ini.
Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik Lebuhraya KL-Karak (KLK) menuju ke Pantai Timur juga perlahan bermula dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah dan Bukit Tinggi ke Lentang.
"Di Kilometer 25.7 ke Genting Sempah, trafik perlahan. Trafik perlahan dari arah timur sebelum masuk ke Plaza Tol Karak," katanya.
Menurut LLM, trafik arak ke utara juga perlahan dari Kulai, Johor ke Sedenak, Plaza Tol Skudai ke Kulai dan Pandan ke Bandar Dato Onn serta Plaza Tol Sungai Besi menuju Universiti Putra Malaysia, Serdang.
-- BERNAMA
#aliran trafik #lebuh raya utama #bergerak perlahan #Aidiladha
;