A. Aida, Ariff Aziz bercerai April lalu

Astro Awani
Jun 18, 2019 15:37 MYT
Perkahwinan A. Aida dan Ariff Aziz hanya bertahan sembilan bulan sahaja. - Gambar Instagram ARIFF AZIZ
PERKAHWINAN penerbit drama terkenal, Datuk A. Aida dengan aktor Ariff Aziz yang berusia sembilan bulan berakhir dengan perceraian.
A. Aida dan Ariff bercerai dengan talak satu pada April lalu.
“Benar, kami sudah bercerai pada April lalu,” kata A. Aida seperti dilaporkan portal MHE TV.
A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang memfailkan permohonan cerai pada 4 April lalu, sebelum disahkan berpisah pada 25 April lalu di Mahkamah Syariah Gombak Timur.
Menurut A. Aida, sekalipun perceraian bukan kehendaknya, namun dia redha dengan perpisahan itu.
Dalam masa sama, A. Aida menyedari yang dia akan dikaitkan dengan satu lagi kontroversi lagi selepas ini.
“Jodoh pertemuan, ajal maut dalam jagaan Allah SWT. Saya sendiri tidak mahu bercerai berai macam ni, tetapi apa boleh buat.
“Perkahwinan kami hanya bertahan tidak sampai setahun, saya reda,” katanya seperti dilaporkan portal itu.
A. Aida dan Arif disatukan sebagai suami isteri pada 21 Julai tahun lalu di sebuah hotel di Subang Jaya selepas tiga bulan menjalinkan hubungan cinta.
Pasangan berkenaan tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.
Sebelum berkahwin dengan Ariff, A. Aida pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi kumpulan Spring, Ameng pada 1994.
Bagaimanapun, rumah tangga mereka berkecai pada 2003. A. Aida dan Ameng dikurniakan dua orang anak perempuan, Wan Az Aleesa, 22, dan Wan Azevanatassha, 17.
Produser itu juga pernah mendirikan rumah tangga dengan pegawai polis, Sufian Sulaiman pada 2007 sebelum berpisah pada 2013.
Hasil perkahwinan itu, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 10.
A. Aida juga dilaporkan pernah berkahwin dengan seorang lagi anggota polis, namun tiada sebarang laporan mengenai perkahwinan kedua itu dihebahkan kepada umum.
#A Aida Ariff Aziz bercerai #penerbit drama #perceraian #perkahwinan
;