AI generatif dalam kewartawanan - menyeimbangkan inovasi dan etika
Bernama
November 14, 2024 06:45 MYT
November 14, 2024 06:45 MYT
SEOUL: Penyepaduan AI generatif (Kecerdasan Buatan) ke dalam kewartawanan muncul sebagai alat penting yang boleh meningkatkan produktiviti wartawan, namun ia juga menimbulkan kebimbangan etika mengenai ketelusan dan akauntabiliti.
Ini merupakan tumpuan perbincangan pada sesi prapersidangan kedua pada hari kedua Persidangan Kewartawanan Yayasan Akhbar Korea (KPF) 2024, pada Khamis (14 Nov).
Ketika berlangsungnya sesi yang membincangkan tajuk "Penggunaan AI di Bilik Berita: Kes-kes Asia", Timbalan Editor Khmer Times dari Kemboja, Taing Rinith berkata, walaupun AI memudahkan kerja wartawan yang menulis dalam Bahasa Inggeris, cabaran besar masih wujud untuk aplikasi AI dalam bahasa Khmer.
Beliau berkata, AI sering ralat ketika menterjemah atau menghasilkan kandungan dalam bahasa Khmer, dan ini menunjukkan keperluan untuk pembangunan dan penyempurnaan seterusnya bagi memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan dalam konteks ini.
Rinith percaya AI adalah masa depan dan alat untuk meningkatkan kualiti kewartawanan, tetapi ia tidak seharusnya menggantikan aktiviti manusia.
AI seharusnya menyokong wartawan tanpa mengurangkan kepentingan wawasan dan kreativiti manusia.
AI seharusnya digunakan seperti mana-mana ciptaan lain, seperti kalkulator, ia adalah alat untuk membantu individu, bukan untuk mengetepikan peranan manusia, katanya.
"AI seharusnya diperlakukan seperti mana-mana ciptaan lain, seperti kalkulator, ia adalah alat untuk membantu individu, bukan untuk menjadikan mereka tidak relevan," katanya.
Beliau berkata, di Kemboja, banyak institusi pendidikan masih melarang penggunaan AI kerana kebimbangan pelajar mungkin menyalahgunakannya dan menjadi terlalu bergantung, yang menyebabkan penurunan dalam pemikiran kritikal dan usaha.
Sementara itu, Wartawan Bernama, Wan Muhammad Aslah Wan Razali berkongsi perspektifnya bahawa alat AI membantu wartawan mengumpul maklumat dan menjana idea cerita baharu.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa AI masih bergelut dengan pemprosesan bahasa untuk bahasa Malaysia, terutamanya apabila menterjemah daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia.
"Di Malaysia, menghadapi masalah kerana kekurangan input dalam bahasa Melayu, yang mengakibatkan alat AI menggabungkan istilah Indonesia apabila menterjemah kandungan bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu," katanya.
Beliau menambah, ini bermasalah kerana beberapa istilah dan struktur tatabahasa dalam bahasa Indonesia berbeza dengan ketara daripada bahasa Melayu, dan AI memerlukan lebih banyak usaha untuk melakukan penambahbaikan.
Walaupun AI boleh meningkatkan kecekapan, adalah penting untuk mengekalkan pengawasan manusia untuk memastikan ketepatan dan integriti maklumat yang disebarkan.
Menurut Editor Berita Bersekutu SPH Media, Ng Soon Kiat, organisasinya telah menetapkan garis panduan dan prinsip dalam mengguna pakai alat AI dalam kerja mereka dan memutuskan bahawa semua kandungan yang dihasilkan mesti melibatkan pengawasan manusia pada setiap peringkat proses.
Beliau menyebut bahawa SPH Media mengamalkan pendekatan yang lebih berhati-hati dalam penggunaan AI.
Maklumat sulit atau embargo tidak boleh diproses melalui mana-mana platform AI dan gambar yang dijana AI tidak digunakan dalam bahan yang mereka terbitkan.
Memandangkan industri media terus berkembang dengan kemajuan teknologi, dialog di Persidangan Kewartawanan KPF 2024 menekankan keperluan untuk pendekatan yang teliti untuk menyepadukan AI dalam kewartawanan, pendekatan yang memanfaatkan faedahnya sambil berwaspada menangani cabaran etikanya.
Persidangan itu juga menampilkan perbincangan panel mengenai Inovasi AI dan kewujudan bersama penggunaan AI dalam kewartawanan oleh pakar tempatan dalam bidang AI generatif. - BERNAMA