AI bukan ancaman kepada industri media - Wartawan veteran

Bernama
Oktober 24, 2024 08:20 MYT
Yong berkata kemahiran seorang wartawan masih sangat diperlukan dalam industri ini terutama dari segi memberi sentuhan kemanusiaan dan pemerhatian terhadap situasi sebenar. - Foto fail/BERNAMA
KUCHING: Kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam industri media tidak harus dilihat sebagai satu ancaman.
Presiden Institut Akhbar Malaysia Datuk Yong Soo Heong berkata kemahiran seorang wartawan masih sangat diperlukan dalam industri ini terutama dari segi memberi sentuhan kemanusiaan dan pemerhatian terhadap situasi sebenar.
"AI sudah tentu tidak dapat menggantikan tempat wartawan kerana kita masih memerlukan kebolehan dan kemahiran dimiliki seorang wartawan untuk mengetahui apa yang patut diketengahkan dan diberi keutamaan.
"Bagaimanapun, saya rasa AI boleh membantu wartawan dalam mempercepatkan proses penyelidikan. Ia adalah alat yang sangat berguna tetapi kita tidak boleh biarkan AI mengambil alih sebaliknya kita mesti mengawal alat ini. AI boleh membantu tetapi kita yang perlu ada di 'tempat pemandu'," katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum mini bertajuk 'Landskap Media Baharu Era Digital' di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai cabaran AI kepada industri media, Yong berkata literasi media penting terutama dalam memperkasakan pengguna berita untuk menilai secara kritis kandungan yang dihasilkan oleh AI.
Wartawan veteran itu berkata pengguna berita perlu mampu membezakan antara berita palsu atau yang dimanipulasi secara tidak tepat dan berita sebenar.
Yong berkata penggunaan AI dalam industri media tidak boleh dipandang remeh kerana ia membolehkan pengamal media menjadi lebih produktif dan melakukan penyelidikan dengan lebih pantas.
"AI boleh memendekkan masa diperlukan bagi penyelidikan malah ia lebih baik daripada Google atau pergi ke perpustakaan. Bagaimanapun, penulis berita atau wartawan mestilah cekap dalam mengenal pasti apa yang betul dan apa yang tidak disampaikan dengan tepat.
"Ini penting kerana teknologi AI berasaskan luar negara dan mungkin tidak mempunyai gambaran lengkap berdasarkan skala dan perspektif tempatan," katanya.
-- BERNAMA
#kecerdasan buatan #Google #berita palsu #perspektif tempatan
;