Ahmad Zahid umum peruntukan untuk setiap MPP UiTM
Bernama
Mei 18, 2023 21:36 MYT
Mei 18, 2023 21:36 MYT
KUALA SELANGOR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM10,000 kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) seluruh negara.
Beliau berkata peruntukan itu akan disalurkan dalam masa terdekat dan penambahan kepada jumlah itu akan diberi pada hujung tahun ini, mengikut garis panduan yang akan ditetapkan nanti.
Katanya peruntukan itu akan membolehkan 13 MPP di 34 kampus UiTM di seluruh negara menganjurkan aktiviti bagi mereka berinteraksi sesama mahasiswa selain membantu pelajar yang kurang berkemampuan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau sedia untuk bertemu dengan semua perwakilan MPP dari semua kampus universiti itu untuk berbincang mengenai keperluan yang dikehendaki para mahasiswa.
"Saya tahu banyak lagi keperluan saudara-saudari, bukan sahaja bas tapi banyak lagi.. saya tahu sebab saya juga pernah hadapi masalah yang sama (ketika menjadi mahasiswa).
"Hantar sahaja semua Yang Dipertua MPP dari seluruh kampus, insya-Allah saya akan dengar (masalah pelajar UiTM)," katanya ketika berucap pada Majlis Riang Raya MPP UiTM bersama Timbalan Perdana Menteri di UiTM Puncak Alam, hari ini.
Katanya UiTM tidak menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sebaliknya mempunyai Akta tersendiri dan ianya memberi kelebihan kepada MPP UiTM berbanding mahasiswa di universiti lain dalam beraktiviti dan menyuarakan pendapat.
"Maka, UiTM yang kini mempunyai ahli alumni kira-kira satu juta orang adalah sebuah universiti yang sangat berbeda daripada yang lain dan dengan keistimewaan yang dimiliki itu, saudara-saudari harus memastikan UiTM berada di hadapan setiap masa," katanya.
Pada masa yang sama, Ahmad Zahid turut menasihati para pelajar untuk menyuarakan pandangan melalui saluran yang betul kerana zaman kerajaan yang serba tahu dan sentiasa betul telah berlalu.
Katanya generasi hari ini adalah peserta penting di gelanggang tranformasi terhadap negara dengan melontarkan pandangan, keyakinan atau penilaian mereka terhadap kejayaan kerajaan melalui sistem pilihan raya.
-- BERNAMA