Ahmad Zahid ucap takziah kepada keluarga Datuk Mohammad Rafi
Bernama
Januari 27, 2024 04:56 MYT
Januari 27, 2024 04:56 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan takziah kepada keluarga penulis blog dan aktivis politik Allahyarham Datuk Mohammad Rafi Awang Kechik yang meninggal dunia petang semalam.
Menurut Presiden UMNO itu, beliau sempat menziarahi Mohammad Rafi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), 5 petang tadi, sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 6.40 petang.
Ahmad Zahid menyifatkan Allahyarham sebagai seorang kenalan yang setia dan sering membuat semua orang tertawa setiap kali berada bersama beliau.
"Siapa sangka, pertemuan jam 5 petang tadi merupakan pertemuan terakhir saya bersama Allahyarham Datuk Mohammad Rafi Awang Kechik sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir petang tadi.
"Semoga Allah SWT menerima segala amal baktinya dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta beroleh ganjaran syurga," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, anak Allahyarham Fazrin Anwar memaklumkan bapanya meninggal dunia pada usia 60 tahun.
Beliau berkata bapanya yang juga veteran UMNO itu dimasukkan ke hospital sejak dua minggu lepas susulan faktor kesihatan yang merosot dan doktor mengesahkan Allahyarham menghidap kanser buah pinggang.
"Jenazah akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Danau Kota, Kuala Lumpur selepas Zohor," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, menurut Facebook milik Mohammad Rafi (yang kini dikendalikan oleh keluarga) jenazah Allahyarham akan dibawa ke Surau Darussalam Sri Tioman 1, Taman Melati pada 9.30 malam dan urusan memandikan serta mengkafankan jenazah akan dilaksanakan pagi ini.
-- BERNAMA