Ahmad Zahid tiba di China, hadiri GPSCFL esok

Bernama
September 8, 2024 20:22 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selamat tiba di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu, China hari ini bagi lawatan kerja lima hari ke republik itu, hingga 12 September. - Foto BERNAMA
SHANGHAI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu, China hari ini bagi lawatan kerja lima hari ke republik itu hingga 12 Sept.
Pesawat yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Lianyungang Huaguoshan di sini pada 4.40 petang waktu tempatan dan disambut Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.
Esok, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijadualkan menghadiri Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) 2024 dan mengadakan perbincangan dengan Penasihat Negara dan Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong.
Kehadiran Ahmad Zahid ke Persidangan GPSCFL 2024 di Bandar Lianyungang bermula 8 hingga 9 September ini adalah atas jemputan bersama Pengerusi GPSCFL Tsang Wai-Hung dan Presiden Persatuan Persahabatan China Chen Zinmin.
Persidangan bertemakan Win-win Cooperation Under Significant Changes: Building A Global Community of Common Public Security akan melihatkan pemimpin antarabangsa berkumpul untuk menangani masalah keselamatan awam.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga akan mengambil bahagian dalam persidangan itu.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, Ahmad Zahid turut dijadualkan ke Shanghai bagi menghadiri Forum Perniagaan Halal Malaysia-China anjuran Halal Development Corporation (HDC) yang disertai pemain industri halal dari Malaysia dan China pada 10 Sept.
Selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China merupakan rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar. Pada 2023, jumlah perdagangan dengan Malaysia bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia.
Separuh pertama 2024 telah mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (US$49.53 bilion). Pada suku pertama tahun ini, sebanyak 24 projek pembuatan telah diluluskan dengan jumlah pelaburan berjumlah RM3.4 bilion (US$717.7 juta).
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi #tiba di China #lawatan kerja #Timbalan Perdana Menteri
;