Ahmad Zahid tiba di Beijing akhiri lawatan rasmi ke China

Nazri Kahar
Mei 28, 2024 19:09 MYT
Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin tiba di Beijing kira-kira jam 4.30 petang. - Foto Bernama
BEIJING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di destinasi terakhir bagi rangka lawatan rasminya ke China, hari ini.
Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin tiba di Beijing kira-kira jam 4.30 petang, disambut Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Lawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sejak 22 Mei lalu, itu bagi memenuhi undangan Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara tiba di ibu negara China itu selepas memulakan lawatannya ke Hong Kong, Shenzhen dan Shanghai.
Di Beijing, Timbalan Perdana Menteri dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang.
Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), itu juga dijadual mengadakan perbincangan bersama Xuexiang serta Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri akan menjadi tuan rumah bagi Majlis Resepsi Gala dan menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.
Majlis sambutan itu dianjurkan bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC) dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.
Lawatan rasmi Ahmad Zahid ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dengan beliau dijangka meneroka peluang kerjasama, terutama dalam bidang pendidikan memfokuskan kepada TVET, pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat.
Malaysia dan China menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974, dan ini adalah lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara sempena Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.
#Zahid Hamidi #lawatan rasmi #Beijing #China
;