Ahmad Zahid rasmi RisSMart24, platform pasar produk usahawan bimbingan RISDA
Bernama
Disember 2, 2024 22:53 MYT
Disember 2, 2024 22:53 MYT
SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini merasmikan kedai serbaneka RisSMart24, entiti perniagaan sektor peruncitan di bawah pengoperasian Kumpulan RISDA Holdings.
Setakat ini, lima cawangan RisSMart24 telah dibuka iaitu di UOA Business Park Glenmarie dan Seksyen 7 Shah Alam, Jalan Telawi Bangsar, The Netizen Cheras serta Teras Jernang di Bangi.
Hampir 4,000 jenis produk disediakan dengan 164 dihasilkan oleh usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang menjadi produk utama di setiap cawangan.
Ahmad Zahid berkata beliau mahu RisSMart24 memasarkan produk diusahakan usahawan di bawah anak syarikat serta agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan serta menambah pendapatan.
"Saya juga mengarahkan agar produk usahawan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Orang Asli, serta lembaga kemajuan wilayah dapat dipasarkan di RisSMart24.
"Mudah-mudahan dengan cara ini, ia boleh membantu usahawan mikro, kecil dan sederhana memasarkan produk mereka di lokasi yang lebih berdaya saing dengan adanya RisSMart24 ini," katanya selepas merasmikan kedai serbaneka itu serta melancarkan syiling peringatan jubli emas RISDA di UOA Business Park Glenmarie di sini hari ini.
RISDA, menerusi anak syarikatnya Kumpulan RISDA Holdings, menyasarkan untuk menambah enam cawangan RisSMart24 dalam masa terdekat antaranya di Ampang, Damansara dan Cyberjaya.
Kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat Ibu Pejabat RISDA memaklumkan langkah itu bertujuan memperluas jaringan dan capaian pelanggan bagi mendapatkan variasi produk yang disediakan.
Pengoperasian premis itu disokong ekosistem perniagaan strategik melalui penyediaan gudang penyimpanan dan pengedaran produk yang terletak di Meru, Klang.
Bagi strategi jangka panjang, RISDA turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan dari Thailand serta Jepun dan membawa masuk produk popular negara terbabit yang dilihat berpotensi menjadi nilai tambah dan daya tarikan RisSMart24.
Mengenai syiling peringatan jubli emas, RISDA memaklumkan ia dihasilkan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) antaranya bagi menghargai jasa berterusan selama lima dekad penglibatan RISDA dan pekebun kecil dalam menyokong pembangunan ekonomi negara.
"Sebanyak 7,000 unit telah dihasilkan BNM untuk dijual kepada masyarakat umum. Penjualan syiling peringatan ini mula dibuka BNM hari ini melalui laman sesawang https://duit.bnm.gov.my/," katanya.
-- BERNAMA