Ahmad Zahid ketuai Jawatankuasa Kabinet perkasa pensijilan, industri halal negara - PM Anwar
Bernama
September 12, 2023 14:57 MYT
September 12, 2023 14:57 MYT
KUALA LUMPUR: Semua jabatan dan agensi berkaitan akan diselaras di bawah satu Jawatankuasa Kabinet, bagi memperkasa aspek pensijilan dan industri halal negara ke peringkat lebih kompetitif, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata jawatankuasa itu akan diterajui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dipertanggungjawab menyelaras sinergi antara semua pihak terbabit, bagi memanfaatkan sepenuhnya ekosistem halal negara, sekali gus mencipta peluang lebih besar dalam pasaran halal global.
"Pensijilan halal, memang kita dapat markah yang tinggi tapi saya mahu ia terus diangkat bukan sahaja dijadikan contoh oleh negara lain, termasuk dari aspek kecekapan dari segi penyelidikan bermutu serta keupayaan memberi kelulusan dengan sangat cepat dan pantas.
"Malah pemimpin dunia yang saya temui seperti China, Jepun, Korea Selatan, Vietnam dan Kemboja juga, bercakap mengenai industri halal dengan mereka memberi tumpuan kepada Malaysia...rugi besar kalau kita tidak bagi tumpuan khusus," katanya ketika berucap merasmikan Global Halal Summit (GHaS) 2023 di sini hari ini.
Turut hadir Ahmad Zahid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Atas faktor itu selain pasaran global industri halal dunia yang dijangka mencapai jumlah AS$2.4 trilion pada 2024, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau meminta Ahmad Zahid dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi tumpuan khusus kepada memperkasa aspek pensijilan dan promosi perdagangan, bagi membolehkan Malaysia menerajui pasaran industri halal dunia yang amat kompetitif.
Perdana Menteri berkata sinergi antara pensijilan halal dengan promosi perdagangan amat penting dan ia menuntut semua pemain industri halal tempatan, jabatan dan agensi berkaitan mengetepikan amalan bekerja secara silo.
Anwar berkata soal halal bukan hanya berkait dengan makanan dan minuman, tetapi juga barangan lain seperti produk farmaseutikal, kosmetik, barang gunaan, perkhidmatan logistik, peranti perubatan dan pengilangan kontrak, di mana penilaian 'halal lagi bersih' yang diberikan boleh menarik minat negara bukan Islam.
"Jadi ini semua harus diselaraskan dengan HDC (Halal Development Corporation Bhd) dan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), kerana ada pengkhususan dan sinergi dengan industri tempatan.
"Jika tidak, kita hanya akan perkenal dan luluskan pensijilan halal, tetapi tidak mengembangkan industri halal negara kita," katanya.
Dalam hal itu, Perdana Menteri mahu setiap langkah diambil JAKIM dalam pensijilan halal, mesti seiring dengan perkembangan industri tempatan dan dunia, supaya kemampanan dalam industri halal membuka akses lebih luas kepada Malaysia di pasaran global.
Anwar juga mahu ruang yang sama diberikan kepada perindustrian mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri halal, agar mereka juga mampu bersaing ke peringkat antarabangsa selain syarikat besar yang sedia terkenal dan memiliki keupayaan.
"Ada satu penekanan baharu, iaitu memberikan ruang kepada PMKS bertapak dengan bantuan sewajarnya. Kalau ini bukan urusan JAKIM, mungkin juga urusan MATRADE atau MARA, dan sebab itu saya katakan, penyelarasan itu penting," katanya.
-- BERNAMA