Ahmad Zahid: KDN perhalusi cadangan tubuh pasukan 'Polis Syariah'

Astro Awani
Disember 13, 2013 10:43 MYT
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya sedang memperincikan cadangan penubuhan sebuah pasukan polis khas bertujuan untuk membanteras penyebaran ajaran sesat dan fahaman Syiah di negara ini.
Ahmad Zahid berkata antara yang dimasukkan dalam cadangan tersebut ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan pegawai dan anggotanya di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan.
Katanya, perbincangan lanjut bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan diadakan.
"Ada cadangan daripada sebuah NGO (badan bukan kerajaan) untuk tubuhkan pasukan polis syariah, banteras ajaran sesat. Ini akan dibincangkan dengan terperinci.
"Kita juga akan mohon perkenan Majlis Raja-raja Melayu supaya tidak disalah anggap cuba campur tangan soal pengendalian isu-isu agama. Aspek yang saya tekankan adalah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Mencegah lebih baik daripada mengubati," katanya ketika menjadi tetamu sebuah rancangan bual bicara di Bernama TV malam tadi.
Dalam temubual itu juga Ahmad Zahid menjelaskan kelulusan Jemaah Menteri perlu diperolehi bagi membolehkan PDRM yang mempunyai Badan Agama dan Kaunseling (Baka) yang boleh bekerjasama dengan JAKIM untuk membendung penularan ajaran sesat.
Mengulas sikap taksub terhadap seseorang pemimpin, Ahmad Zahid berkata ianya satu yang bahaya kerana dan boleh menjurus kepada perbuatan tidak wajar.
Beliau turut menyentuh kes pembunuhan ketua penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bulan lepas yang mana seramai 13 pengikut kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun telah ditangkap kerana dipercayai ada kaitan kes tersebut.
"Apa yang ada pada kami (KDN) adalah dari segi penguatkuasaan untuk membantu JAKIM dan Majlis Agama Islam negeri. Kita harap semua pihak boleh lakukan sesuatu untuk pulihkan mereka yang terseleweng akidahnya," jelasnya.
#Ahmad Zahid Hamidi #polis syariah #Syiah
;